PAKATAN Harapan wajar menyemak semula naratif yang digunakannya untuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata ahli panel forum malam tadi.
“Saya berharap ahli Parlimen Pakatan untuk menyemak semula isu ICERD. Mereka mungkin tak boleh nak ratifikasinya sekarang (selepas dipolitikkan) tetapi tidak boleh membiarkan ICERD jadi isu yang salah,” kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Latheefa Koya.
Katanya, persoalan untuk meratifikasikan ICERD sudahpun ditimbulkan oleh pentadbiran Barisan Nasional dahulu, tetapi ketika itu Umno mahupun PAS tidak menentangnya.
Latheefa berkata sangat dikesalkan kerajaan memutuskan untuk membatalkan hasrat meratifikasikan ICERD selepas ugutan dibuat Umno tetapi ia tidak boleh membenarkan penentangan itu menentukan naratif konvensyen itu.
Katanya sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia mendapat maklumat tepat berkaitan ICERD.
“Kita tak boleh jadi katak bawah tempurung dan menggeletar setiap kali ada orang kata ICERD,” kata Latheefa pada forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor KL malam tadi.
Sebelum itu, seorang lagi ahli panel Faisal Abdul Aziz daripada Abim berkata kerajaan terkhilaf dalam menangani isu ICERD.
“Mereka patutnya mengadakan lebih banyak forum untuk menjelaskan isu ini kepada semua orang berbanding membiarkan fakta sebenar diputar belit.
“Ini adalah kegagalan kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana meratifikasikan ICERD tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” kata Faisal.

Katanya lagi, isu tersebut dipolitikkan oleh Umno dan PAS kerana kedua-dua parti pembangkang tersebut memerlukan isu besar untuk menarik sokongan kembali kepada mereka.
“Umno dan PAS fikir dengan ICERD, mereka boleh menang lagi 15% undi Melayu jadi mereka boleh kembali berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.”
ICERD bukan soal kaum dan agama
Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom berkata konvensyen tersebut bermatlamat menghapuskan diskriminasi kaum dan tidak akan menjejaskan hak beragama.
“Ambil contoh perkahwinan. Artikel 5 (IV) ICERD memberikan hak untuk berkahwin dan pilihan pasangan berdasarkan kaum dan bukannya agama atau kecenderungan seksual.
“Malaysia ada peruntukan perkahwinan mengikut agama. Seorang Melayu Islam tidak boleh berkahwin dengan seorang Cina atau India bukan kerana kaum tetapi kerana agama dan ini tiada kaitan dengan ICERD,” kata Azmi.
Kumpulan Islam menentang ICERD kerana pada pandangan mereka Artikel 5 membenarkan perkahwinan sejenis.
Azmi juga membangkitkan terdapat Artikel 2 dalam ICERD yang membenarkan tindakan afirmatif dilakukan sekiranya diperlukan.
“Konsep ini konsisten dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasanya untuk memberikan kuota tertentu kepada orang Melayu dan Bumiputera di mana diperlukan dan bersebab tetapi pada masa sama masih melindungi hak kaum lain.”

Sementara itu, Exco IKRAM Zaid Kamaruddin berdepan cabaran untuk menjawab soalan bagaimana ICERD boleh mengancam kedudukan Islam di Malaysia.
Apabila ditanya mengenai percanggahan ICERD dengan Perlembagaan oleh seorang ahli Badan Peguam Andrew Khoo, Zaid tidak dapat menjawab soalan tersebut tetapi berkata lebih baik ratifikasi itu ditunda jika ia boleh menimbulkan ketengangan dalam negara.
“ICERD tidak bertentangan dengan ajaran Islam tetapi kesannya boleh mencetuskan ketegangan, pertamanya kerajaan perlu mengadakan lebih banyak rundingan dan bertindak sebagai pemudah cara,” kata Zaid.
Forum tersebut dianjurkan NGO Saudara dipengerusikan oleh Wan Ji Wan Hussin dan merupakan forum awam kedua dilakukan selepas isu kontroversi itu tercetus.
Forum membincangkan isu sama diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia minggu lepas dan dihadiri ramai orang. Dan walaupun soalan yang dikemukakan mencabar, perbincangan dapat berjalan dengan suasana aman. – 27 November, 2018.
Komen