MENGIKTIRAF Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan menjejaskan hak Melayu, kata panel sebuah forum mengenai konvensyen antarabangsa itu malam tadi.
“Walaupun Artikel 2 ICERD menyatakan dasar tindakan afirmatif positif perlu diambil, tidak ada arahan yang memaksa Malaysia memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan,” kata aktivis Liga Pemuda Malaysia Amir Abd Hadi.
Memetik Thailand sebagai contoh, Amir berkata menjadi kebiasaan bagi negara-negara untuk menandatangani perjanjian dengan klausa tambahan.
“Thailand menambah klausa itu, menjadikan menandatangani ICERD tidak bermakna ia akan mengubah undang-undangnya.
“Dan Malaysia boleh buat yang sama berkaitan Artikel 153,,” katanya pada forum bertajuk Apa Perlunya ICERD Untuk Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil berkata Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara ini dan ICERD tidak akan melangkauinya.
“Kalau sesiapa mahu meminda Artikel 153 sekalipun, ia perlu mendapatkan kelulusan Majlis Raja-Raja,” katanya yang juga bekas peguam.

Amir berkata keistimewaan Melayu di bawah Artikel 153 (2) juga terbatas kerana keistimewaan itu hanya diberikan selagi Raja menganggapnya perlu.
Beliau berkata isu itu hanya dimainkan oleh parti politik seperti Umno dan PAS untuk kekal dalam politik.
Bagaimanapun, satu kelebihan jika menandatangani ICERD ialah ia akan memberikan Malaysia kelayakan untuk mempersoalkan rekod negara lain tentang diskriminasi.
“Kita akan mendapat lebih hak moral untuk mengkritik Israel dalam isu Palestin atau Myanmar terhadap Rohingya. Ironinya, Israel sudah menandatangani perjanjian itu tetapi masih mengamalkan diskriminasi,” kata Amir.

Pengulas politik Hasmi Hashim berkata polemik tentang ICERD hanya timbul kerana 9 Mei.
“Sebelum ini, Umno dan Barisan Nasional juga mahu meratifikasikannya tetapi tidak ada isu. Tetapi semua ini timbul selepas 9 Mei,” katanya.
Forum itu turut menampilkan aktivis Hishamuddin Rais, yang baru tiga hari lalu dilarang memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menghadiri satu lagi forum.
“Ini kali pertama saya jejak kaki di UIAM dan ia hanya dapat berlaku selepas perubahan dalam kerajaan.
“Isu seperti ICERD sepatutnya dibincangkan secara rasional di tempat seperti ini dan bukan hanya protes, di mana ramai lagi yang mungkin tidak pernah baca tentang perjanjian itu atau pun Perlembagaan,” katanya.
Forum itu ditaja oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon dan dikendalikan oleh pengarang MMO Fathi Mat Aris. – 23 November, 2018.
Komen