KERAJAAN Malaysia menegaskan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut, kerajaan sebaliknya akan mempertahankan kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dikeluarkan hari ini ekoran bantahan meluas daripada pelbagai pihak termasuk parti PAS dan Umno yang merancang mengadakan perhimpunan besar pada 8 Disember.
Ucapan berapi-api pemimpin berkenaan, termasuk presiden Umno Zahid Hamid yang mengancam untuk menggembleng orang Melayu untuk “mengamuk” pada hari itu, kini disiasat polis.
Bantahan ke atas ICERD memuncak apabil Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengumumkan ia merupakan antara salah satu konvesyen hak asasi yang akan diratifikasi menjelang suku pertama tahun depan.
Kumpulan masyarakat sivil bagaimanapun mengalu-alukan usaha kerajaan meratifikasi konvensyen itu alasan ia penting bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Malaysia merupakan salah satu daripada 14 negara yang masih belum mengesahkan perjanjian berkenaan.
Dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada akhir September, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.
“Bukan mudah bagi kami kerana Malaysia adalah negara berbilang etnik, agama, budaya dan bahasa.
“Kami akan memperuntukkan ruang dan masa bagi semua untuk membuat keputusan secara bebas berasaskan demokrasi,” katanya.
Awal hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengulangi pendirian mahu kerajaan Pakatan menangguhkan ratifikasi ICERD sebaliknya menumpu perhatian pada isu-isu lain, termasuk kos sara hidup rakyat. – 23 November, 2018.
Komen