KONVENSYEN Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menjadi tajuk berita beberapa minggu kebelakangan ini.
Ketika Putrajaya ingin meratifikasikan konvensyen ini, ramai, termasuk pihak di dalam kerajaan, membantah tindakan sedemikian, dengan alasan utama ia akan menghapuskan hak Melayu/Bumiputera dan menjejaskan kesucian Islam.
Benarkah begitu? Berikut adalah penjelasan mengenai ICERD menurut isu dan konteksnya.
ICERD diwujudkan ketika kejadian anti-semitisme di beberapa bahagian dunia dan sistem aparteid di Afrika Selatan.
Pada Disember 1960, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi yang mengutuk amalan kebencian kaum, agama dan negara sebagai pelanggaran terhadap Piagam PBB dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Berikutan itu resolusi diluluskan yang menggesa kerajaan mendidik orang ramai terhadap sikap tidak toleransi dan menamatkan undang-undang yang mendiskriminasi.
Draf ICERD diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 20 November 1963.
Antara peruntukan utama dalam ICERD adalah Perkara 1 yang mentakrifkan diskriminasi kaum sebagai “sebarang perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan berdasarkan bangsa, warna, keturunan, atau asal etnik atau etnik yang mempunyai maksud atau kesan membatalkan atau merosakkan pengiktirafan, manfaat atau amalan, terhadap kedudukan yang sama, hak asasi manusia dan kebebasan asas dalam politik, ekonomi, sosial, kebudayaan atau mana-mana bidang kehidupan umum.”
Tetapi perbezaan dibuat berdasarkan kewarganegaraan (antara warganegara dan bukan warganegara) dan dasar tindakan afirmatif yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan dan mempromosikan kesamarataan.
Dalam Perkara 2, ICERD mengutuk diskriminasi kaum dan mewajibkan negara menghapuskan diskriminasi kaum dalam semua bentuk. Ia juga mewajibkan semua pihak mempromosikan sikap saling memahami di antara kaum.
Dan bagi negara yang melaksanakan dasar diskriminasi positif, ICERD mewajibkan mereka menggunakan hanya yang perlu dan langkah itu mestilah terbatas.
Dalam Perkara 5, ICERD mewujudkan kewajipan khusus bagi jaminan hak sama rata dalam undang-undang tanpa mengira bangsa, warna dan asal-usul kewarganegaraan. Ia juga menyenaraikan keselamatan individu, kebebasan daripada keganasan dan hak-hak sivil dan politik.
Satu lagi perkara penting ialah Perkara 3 yang mengecam aparteid dan pengasingan kaum, termasuk kewajipan mengakhiri dasar pengasingan lalu. – 15 November, 2018.
Komen