SPRM serbu pejabat baru Isa di SPAD


Asila Jalil

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat baru Isa Samad di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) , sebahagian daripada proses siasatan yang dilakukan ke atas bekas pengerusi Felda itu yang kini terlibat dalam dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Serbuan itu berlaku pagi ini selepas agensi pencegahan rasuah negara itu menyerbu dua rumah Isa di Petaling Jaya dan Nilai semalam.

“Saya diberitahu yang ada lawatan ke pejabat SPAD pagi ini,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad.

“Ini proses normal untuk siasatan yang sedang berlaku,” katanya lagi.

Apabila ditanya sekiranya ada aset Isa yang dibekukan, Dzulkifli berkata SPRM masih dalam siasatan dan sedang berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan siasatan.

Pada 15 Ogos, Isa ditahan berkaitan pembelian hotel dilakukan Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching dan London selepas datang ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan berkaitan urus niaga itu.

Semalam, bekas pengerusi Felda itu ditahan reman lima hari di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Isa yang memakai uniform lokap SPRM ketika dibawa ke mahkamah semalam, tindakan yang disifatkan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran sebagai melanggar undang-undang.

Menjawab tuduhan itu, Dzulkifli berkata pihak berkenaan boleh mencabar perkara itu di mahkamah sekiranya benar ia melanggar Perlembagaan.

“Jika ia melanggar Perlembagaan (untuk orang tahanan memakai uniform lokap), bawa (perkara itu) ke mahkamah,” kata Dzulkifli pada sidang media selepas menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dengan peniaga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini. – 17 Ogos, 2017.



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen