Rumah Isa di Nilai diserbu SPRM


Isa Samad dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman. Isa ditahan SPRM semalam berhubung pembelian hotel oleh anak syarikat Felda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2017.

RUMAH bekas pengerusi Felda Isa Abdul Samad di Nilai diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut pengawal keselamatan yang enggan dikenali dan bertugas di kawasan perumahannya, tiga buah kenderaan SPRM tiba di kediaman Isa kira-kira pukul 4.30 petang tadi dan pulang kira-kira dua jam kemudian.         

Serbuan itu difahamkan untuk mendapatkan fail-fail serta dokumen berkaitan kes yang sedang disiasat.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan pengesahan berhubung serbuan itu dari pihak SPRM, gagal. 

Tinjauan Bernama di sekitar rumah Isa mendapati kawalan ketat dilakukan pengawal keselamatan  dan pihak media yang berkumpul di situ tidak dibenarkan masuk ke kawasan rumahnya. 

Semalam, Isa ditahan SPRM selepas hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching.

Rumah Isa di Selangor turut diserbu semalam. – Bernama, 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen