PIHAK berkuasa perlu menghentikan paksaan ke atas tahanan untuk mengenakan uniform lokap ketika pendengaran perintah reman kerana ia melanggar undang-undang dan boleh mengundang saman sivil, kata Peguam N. Surendran hari ini.
Ahli Parlimen Padang Serai daripada PKR itu berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu membenarkan mereka yang ditahan mengenakan pakaian sendiri daripada pakaian lokap yang berwarna ungu dan jingga.
“Dipaksa memakai pakaian terang dan diarak ke premis mahkamah adalah memalukan orang kena tahan dan menimbulkan persepsi individu terbabit memang pesalah atau penjenayah walaupun mahkamah belum putuskan dia bersalah.
“Sama juga dengan amalan pasukan polis yang membuat suspek memakai baju ungu lokap yang mana ia salah sama sekali dan melanggar undang-undang,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung dua penahanan kes berprofil tinggi ke atas exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan bekas pengerusi Felda Isa Samad yang dibawa ke mahkamah dengan mengenakan pakaian lokap SPRM berwarna jingga.
Surendran juga menyatakan Peraturan Penjara Peraturan 168 yang wajib bagi pihak berkuasa penjara untuk membenarkan tahanan yang belum diputuskan bersalah memakai pakaian mereka sendiri.
“Undang-undang tersebut menyatakan individu yang belum disabitkan kesalahan tidak boleh mengenakan uniform lokap,” tambahnya ia juga melanggar Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.
N Surendran berkata, gambar dan video individu yang ditahan dalam uniform ini disebarkan dalam beberapa platform media di mana ia menyebabkan persepsi masyarakat terhadap mereka walaupun masih tidak bersalah pada pandangan undang-undang sehingga dibuktikan bersalah.
“Situasi ini menjadi lebih buruk dengan trend SPRM sekarang ketika ke mahkamah seolah-olah mahukan pubisiti dengan tindakan mereka.
“Pihak berkuasa tidak boleh berlebih-lebih dalam menjalankan tugas mereka,” kata Surendran yang mengecam tindakan pihak berkuasa mengenakan gari yang tidak perlu ke atas Phee kerana tiada risiko dia akan melarikan diri. – 17 Ogos, 2017.
Komen