MOHAMED Azmin Ali berterima kasih kepada penyokongnya malam kelmarin, kenyataan yang membayangkan beliau sudah mengalahkan pencabarnya Rafizi Ramli dalam persaingan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR yang beliau sandang.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dijumlahkan oleh The Malaysian Insight, Azmin kini mendahului Rafizi dengan kelebihan selesa lebih 5,000 undi.
Tetapi ada satu masalah.
Keputusan di Julau, Sarawak digantung selepas ada dakwaan sistem pengundian elektronik digodam. Polis merampas beberapa peranti yang digunakan semasa pengundian di kawasan yang jadi perhatian kerana pertambahan mendadak ahlinya.
Keputusan bagi cabang Pensiangan di Sabah yang mengundi semula kelmarian juga belum lagi muktamad, serta beberapa cabang di Selangor dan undi ragu di beberapa negeri.
Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden sekarang, Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam menegur Azmin kerana dianggap terlalu awal membayangkan beliau menang. Kenyataan mereka kemudiannya dianggap isyarat sokongan kepada Rafizi.
Menurut Pengerusi JPP Rashid Din, keputusan rasmi pemilihan PKR hanya akan disahkan pada kongres parti hujung minggu ini.

Julau boleh jadi penentu
Angka akhir undi yang diterima oleh calon hanya akan disahkan selepas JPP membuat keputusan tentang kedudukan pemilihan terutamanya di Julau, cabang yang jadi kontroversi kerana pertambahan ahli baru hampir 13,000 orang.
“Kita masih lagi belum buat keputusan sama ada akan mengadakan pemilihan semula atau tidak. Sebahagian tablet (yang digunakan untuk pengundian di Julau) masih ada pada pihak polis,” kata Rashid ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Keputusan di Julau digantung selepas dakwaan ada serangan siber yang memungkinkan data pengundian dimanipulasi.
Pada Ahad, polis menyoal siasat Ketua Unit Sistem dan Data JPP Alvin Teoh Kong Seng selama empat jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Undi ragu belum muktamad
Rashid juga memaklumkan keputusan bagi cabang Pensiangan di Sabah yang mengundi semula semalam belum lagi muktamad.
“Pensiangan ada lagi 1,000 lebih undi yang belum diselaraskan. Jadi belum ada muktamad keputusan,” katanya.
JPP juga setakat ini belum memuktamadkan status undi ragu yang dikesan di beberapa negeri antaranya di Selangor yang difahamkan melibatkan lebih kurang 5,000 undi.
Semakan di laman web JPP juga mendapati hanya keputusan di enam negeri yang sudah muktamad iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.
Rafizi sehingga ini belum lagi mengaku kalah sebaliknya yakin akan dapat memintas Azmin apabila keseluruhan undi yang belum dikira dimuktamadkan keputusannya minggu ini, sebelum Kongres PKR bermula Jumaat ini.
“Saya yakin bila keputusan penuh itu keluar esok atau lusa saya boleh menang lebih 4,500 undi,” katanya, dalam satu rakaman video ucapan kepada penyokongnya di Pensiangan, yang beredar di media sosial malam tadi.
Apa jadi dengan Rafizi?
Tetapi sekiranya keputusan awal kekal dan sah Rafizi kalah, penganalisis melihat ia bukan penutup masa depan politik bekas ahli Parlimen Pandan itu.
Pensyarah politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi percaya bakal presiden PKR
“Rafizi akan dapat jawatan lantikan parti dan sekiranya ada kekosongan kerusi PKR (di Parlimen) maka Rafizi akan kembali untuk mengukuhkan dan memastikan keseimbangan kuasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perlembagaan PKR memperuntukkan 9 jawatan naib presiden dengan empat dipilih, satu masing-masing ketua sayap Pemuda dan Wanita, dan tiga yang dilantik. Beberapa jawatan lain juga adalah lantikan termasuk setiausaha agung, bendahari, pengarah strategi dan pengerusi negeri.

Sejauh mana PKR berpecah?
Dalam pada itu, beberapa pemimpin PKR yakin parti itu akan bertaut semula selepas pemilihan kali ini yang penuh drama dan tuduh-menuduh antara kem Azmin dan Rafizi.
Naib Presiden Tian Chua yang menyokong Azmin berkata, parti akan berdepan masalah sekiranya Rafizi tidak mahu menerima kekalahannya.
“Rafizi perlu menerima dengan terbuka kekalahannya dan menerima jawatan yang diberikan. Kemudian, tiada lagi masalah. Yang lain dilihat akan bersedia untuk bekerja bersama selepas itu,” kata Chua.
Bekas timbalan presiden Dr Syed Husin Ali juga optimis percakaran yang berlaku ini hanyalah semasa pemilihan dan akan berakhir.
“Siapa pun yang menang, kedua-dua tokoh ini akan kembali bertaut,” katanya.

Rafizi aset parti
“Kalau dilihat pada kemampuan dan pengetahuan, Rafizi tidak akan disisih. Kepandaian beliau masih perlu untuk strategi pilihan raya umum akan datang.
“Azmin dan Rafizi akan kembali bersama,” kata Setiausaha Cabang Kapar Mohd Ruzani Mohd Sani kepada The Malaysian Insight.
Ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad juga yakin parti akan bertaut semula, sama seperti selepas pemilihan parti sebelum ini sejak 2001.
“Perbezaan tetap ada tetapi selalunya kita akan melupakannya,” katanya.
Bagaimana kalau Azmin kalah?
Namun sekiranya Azmin kalah, apakah beliau akan mendesak pemilihan itu dibatalkan kerana terlalu banyak aduan sebelum ini? Atau adakah beliau akan menarik keluar penyokongnya dari parti?
Setakat ini Azmin mengisytiharkan kesetiaan kepada parti dan Anwar walaupun kem Rafizi semasa kempen pemilihan menuduh Azmin ada cita-cita politik sendiri.
Azmin akan kalah besar sekiranya tewas pemilihan ini. Kedudukannya sebagai menteri kanan mungkin akan terjejas.
Namun pemimpin parti percaya Anwar akan memainkan peranan memastikan PKR tidak terjejas kesan pemilihan yang dilihat memecahkan parti ini.

Anwar penyatu parti
Calon ketua Pemuda Dr Afif Bahardin melihat Anwar yang akan menerajui parti secara sah minggu depan sebagai individu yang akan menyatukan kembali dua kem ini.
“Anwar ada tugas berat untuk pulihkan imej parti. Hanya dia mampu buatkan kedua-dua pasukan bekerja sama,” kata Adun Seberang Jaya itu, yang menyokong Azmin.
Calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Wong Chen berkata isu utama yang dihadapi PKR ialah memastikan Anwar jadi perdana menteri Malaysia ke-8 selepas Dr Mahathir Mohamad.
“Pada akhirnya, parti perlu bersatu di belakang Anwar. Itu matlamat utama, menjadikan Anwar PM,” kata ahli Parlimen Subang itu. – 13 November, 2018.
Komen