PERTEMBUNGAN di antara Azmin Ali dan pencabarnya Rafizi Ramli tidak akan membuatkan parti pecah-belah seperti dalam pertandingan sebelum ini, kata veteran parti, Syed Husin Ali.
Beliau juga yakin calon yang gagal merebut jawatan timbalan presiden itu tidak akan kecewa dan meninggalkan parti, seperti yang berlaku dalam pertandingan sebelum ini.
“Orang mengatakan kalau Azmin kalah akan keluar parti, Rafizi kalah akan berlaku perpecahan dalam parti. Saya tidak percayalah. Walau yang mana pun kalah mereka akan bertaut,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ahli biro politik parti itu berkata pemilihan kali ini tidak boleh dibandingkan dengan pertembungan Azmin dengan Zaid Ibrahim pada 2010 dan dengan Khalid Ibrahim pada 2014.
Kedua-dua senario tersebut berbeza dengan suasana dalam PKR pada waktu ini, jelas Syed Husin yang juga merupakan timbalan presiden parti yang pertama.
Zaid, bekas menteri Umno yang merupakan ketua PKR Wilayah Persekutuan menarik diri dari pemilihan pada 2010 dan meninggalkan PKR kerana mendakwa wujud kepincangan dalam proses pemilihan.
“Zaid dia masalahnya hendak bertanding. Dia baru (dalam parti) nak bertanding di atas (jawatan Timbalan Presiden) Kerana dia memikirkan kalau Anwar kena tangkap, dia boleh jadi Presiden. Bila tak dapat itulah dia (keluar),” kata Syed Husin.
Bekas menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim pula kekal selepas kalah pemilihan PKR pada Jun 2014 dan dipecat parti tiga bulan kemudian,
Khalid didakwa mengingkari beberapa keputusan parti termasuk dalam isu Langkah Kajang untuk menggantikan menteri besar Selangor baharu dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Berbeza dengan Khalid. Dia bukan berhenti sebab Azmin lawan dia. Dia telah melakukan beberapa perkara yang bertentangan (dengan parti). Akhirnya dia telah diberhentikan, ada beza,” kata Syed Husin.
Pilih timbalan yang fikir kebajikan

Syed Husin turut menyeru anggota parti memilih calon yang memikirkan kebajikan semua pihak dan bukannya mengangkat diri sendiri.
“Timbalan itu mesti merupakan pembantu yang berkesan. Ada sefahaman yang sebaiknya untuk menjalankan tugas menguntungkan parti.
“Mereka mesti kerja keras untuk parti dan sentiasa laksana apa yang penting bukan bagi diri sendiri,” kata bekas pensyarah sosiologi dan antropologi Universiti Malaya itu.
Dr Syed yang pernah menjadi tahanan ISA selama 6 tahun itu juga berkata pemilihan yang panas kali ini juga menguntungkan parti kerana boleh menaikkan semangat anggota untuk mengundi.

Justeru, anggota perlu bijak memilih dan tidak beremosi, katanya lagi yang kini menjadi pengerusi jawatankuasa rayuan, bantahan dan disiplin parti
“Ini boleh mematangkan parti, mereka merasakan ini penting untuk kita bagi keputusan siapa yang patut menang.
“Anggota mesti kuat, apa yang mereka rasa salah tak boleh diam, tengok dan terima saja. Kena tentang amalan yang tidak baik, tidak kira daripada pihak mana,” katanya lagi.
Pemilihan PKR akan bermula esok di Kedah dan Pulau Pinang esok dan hari berikutnya di Perlis dan Perak.
Dua lagi negeri, Negeri Sembilan dan Melaka akan mengadakan pemilihan pada 29 September, diikuti negeri-negeri lain pada tarikh berikutnya.– 22 September, 2018.
Komen