Polis rampas peranti untuk pengundian di Julau, kata JPP PKR


Nabihah Hamid

Pemilihan di Julau, Sarawak kecoh kerana pelbagai isu, terbaru Pengarah JPP Rashid Din berkata keputusan penuh cabang itu tidak dapat diumumkan kerana peranti pengundian dirampas polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2018.

JAWATANKUASA Pemilihan Parti (JPP) PKR tidak boleh mengesahkan keputusan Cabang Julau di Sarawak kerana sebilangan peranti yang digunakan dalam pemilihan semalam kini dirampas polis.

Pengarahnya Rashid Din berkata keputusan setakat ini hanya diperolehi daripada 69 peranti lain yang digunakan sewaktu proses pengundian. 

“Kita tidak boleh bagi keputusan hari ini atau esok sebab tujuh tablet kita ada di tangan polis. Kesemua tab ada 76 yang digunakan untuk proses undi Julai. 

“Kita pun sedang lihat macamana cara untuk dapatkan keputusan dari tab. Sebab polis dah pegang.  Kena tunggu beberapa hari lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Cabang Julau terpaksa digantung selepas JPP mengesan 10 tablet yang digunakan untuk pemilihan didapati dicerobohi pihak tertentu.

Keputusan juga turut terjejas akibat serangan siber itu. Walaupun pemilihan dapat diteruskan selepas sistem dipulihkan.  

JPP juga akan membuat laporan polis mengenai pencerobohan data tersebut.

Julau merupakan cabang yang menjadi kontroversi selepas penambahan keahlian mendadak mencecah 13,000 dipertikaikan banyak pihak dan kini disiasat SPRM. 

JPP meneruskan pemilihan di cabang tersebut kerana tidak mendapat arahan daripada pucuk pimpinan parti. 

Biro Politik PKR turut mengesahkan pendaftaran ahli Julau adalah sah dan tidak melanggar prosedur. – 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen