11 cabang undi semula penentu nasib Azmin, Rafizi 


Nabihah Hamid

Pemilihan parti PKR hari ini menyaksikan 11 cabang bakal menjadi penentu nasib kedua-dua calon timbalan presiden.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018

MOHAMED Azmin Ali selamat di Sarawak, kata penyokongnya, apabila negeri itu mengundi dalam pemilihan PKR hari ini, namun pengundian semula di 11 cabang akan jadi penentu apakah timbalan presiden itu akan mengekalkan jawatannya yang dicabar Rafizi Ramli.

Keningau di Sabah akan mengundi semula hari ini, serentak dengan 21 cabang di Sarawak. Baki 8 cabang di Sarawak pula mengundi esok.

Tiga cabang juga akan mengundi sekali lagi esok iaitu Tawau dan Pensiangan di Sabah serta Kuala Selangor, Selangor.

Semua enam cabang di Melaka dan Jelebu di Negeri Sembilan pula akan mengundi esok, terhad melibatkan ahli yang sudah mengundi pada 20 Oktober lepas tetapi undi mereka “hilang” kerana masalah teknikal sistem pengundian elektronik.

Daripada 11 cabang yang mengundi semula, hanya Kuala Selangor saja dianggap kubu kuat Azmin, kata beberapa sumber PKR dan penganalisis.

Pelbagai isu timbul dalam pemilihan PKR sejak ia bermula pada 22 September lalu.  –  Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018

“Saya lihat 11 cabang terakhir adalah penentu dan kelebihan pada Rafizi. Lihat sahaja ribuan penyokong Rafizi di Pensiangan dan Keningau yang marah kerana tidak sempat mengundi.

“Di Melaka juga, saya difahamkan undi penyokong Rafizi banyak hilang,” kata pensyarah politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Rafizi dikatakan mempunyai kelebihan di 10 cabang lain terutamanya Pensiangan, yang dilaporkan beliau mendahului sebelum proses pengundian dihentikan dan kemudian ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Keningau juga dikatakan kubu kuat Rafizi sementara Tawau dijangka akan memihak kepada Azmin.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution semalam menjelaskan pemilihan di Keningau dibuat semula selepas pertukaran lokasi pengundian pada saat akhir yang melibatkan premis tidak sesuai dan liputan Internet yang lemah.

Proses pengundian di Tawau pula dibatal dan ditangguhkan selepas ada pihak ketiga dikesan mengundi bagi pihak ahli yang sepatutnya mengundi sendiri.

Kiraan undi tidak rasmi setakat ini menyaksikan Mohamed Azmin Ali mendahului pencabarnya Rafizi Ramli dengan majoriti 3,000 undi.

Undian semula di Melaka dan Negeri Sembilan melibatkan 2,000 undi yang gagal dikesan dalam sistem.

Enam cabang di Melaka mengundi antara pukul 10 pagi hingga 5 petang manakala Jelebu mengundi antara 10 pagi hingga 2 petang.

PKR melaksanakan pengundian secara elektronik yang dibuat berperingkat-peringkat mengikut negeri sejak 22 September lepas.

Sarawak, negeri terakhir yang mengundi dalam rentas dua hari bermula hari ini, dipercayai bakal memihak kepada Azmin, yang dilihat bertanggungjawab mengembangkan pengaruh parti itu semasa pilihan raya yang lalu.

Rafizi Ramli dikatakan mempunyai kelebihan di 10 cabang lain terutamanya di Pensiangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, jawatan ketua cabang di 16 daripada 29 cabang di Sarawak dimenangi tanpa bertanding oleh pimpinan yang menyokong Azmin.

“Pertandingan dua kem hanya berlaku di 13 cabang saja, selebihnya memihak kepada Azmin,” kata sumber di Sarawak.

Bagaimanapun kem Azmin tidak mahu ambil mudah sehingga terlalu selesa kerana pengaruh Larry Sng di Julau dan pertambahan 13,000 ahli baru di cabang itu yang jadi kontroversi, sehingga dilihat mencemarkan pemilihan dan parti.

“Sebab itu isu undi ‘hantu’ 13,000 Julau ini dibimbangi akan memihak kepada Rafizi. Jadi, kita tidak boleh ambil mudah,” kata sumber PKR penyokong Azmin yang enggan dinamakan.

Azmin kini mendahului Rafizi dengan majoriti kira-kira 3,000 undi, berdasarkan kiraan tidak rasmi yang terkumpul setakat ini. – 10 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen