PKR cabang Julau di Sarawak, yang jadi perhatian kerana pertambahan mendadak ahlinya, tidak akan menjejaskan peluang Mohamed Azmin Ali kekal sebagai timbalan presiden parti apabila negeri itu mengundi hujung minggu ini.
Sarawak adalah negeri terakhir mengundi dalam pemilihan yang diadakan secara berperingkat mengikut negeri bermula 23 September lalu.
Walaupun Biro Politik PKR mengesahkan tiada keraguan dengan pendaftaran lebih kurang 13,000 ahli baru di Julau, Azmin – yang kini mendahului pencabarnya Rafizi Ramli lebih 3,000 undi, selamat, kata Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Kedit.
Hanya segelintir saja daripada 13,000 ahli baru itu akan mengundi, katanya.
“Dari segi teknikal, hampir 13,000 ahli layak mengundi dan undi mereka sah. Orang tentu fikir jumlah itu boleh tentukan keputusan pemilihan.
“Tetapi persoalannya, bolehkah semua mereka mengundi dalam masa tujuh jam tempoh mengundi?” kata Kedit, merujuk pada peraturan pemilihan PKR.
Jelas beliau, proses pengundian sebelum ini menunjukkan seorang ahli akan mengambil masa lebih kurang lapan minit untuk mengundi menggunakan sistem undian elektronik yang diguna pakai oleh parti.
“Purata masa itu akan lebih lama jika melibatkan pengundi berumur yang kurang mahir teknologi dan di kawasan luar bandar yang perkhidmatan Internetnya tidak begitu baik.
“Untuk semua lebih 13,000 pengundi di cabang itu mengundi, ambil mesin kira-kira dan hitung berapa lama masa yang akan diambil.
“Tidak mungkin semua mereka boleh mengundi dalam masa tujuh jam itu,” katanya.
PKR menetapkan tempoh mengundi di Julau pada Sabtu ini antara 9 pagi hingga 4 petang.

Menurut Kedit, peraturan pemilihan menetapkan pintu pusat pengundian mesti ditutup pada pukul 4 petang.
Biro Politik PKR yang bermesyuarat pada Rabu malam mendapati tiada keraguan pada pertambahan luar biasa ahli di Julau pada akhir Jun lalu. Peningkatan yang mencecah 2,000% itu bagaimanapun sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pemilihan PKR di Sarawak yang ditetapkan pada Sabtu dan Ahad ini jadi tumpuan kerana kontroversi pertambahan keanggotaan di Julau, selain ahli parlimennya Larry Sng.
Sng, yang secara terbuka menyokong Rafizi, dilaporkan bercakap dalam satu majlis di sebuah rumah panjang selepas Pilihan Raya Umum ke-14, cabang Julau mempunyai keahlian yang paling pesat bertambah daripada lebih kurang 600 pada 26 Jun kepada lebih 13,000 sehari kemudian.
Sng, yang bertanding jawatan ketua cabang Julau pada pemilihan hujung minggu ini, bukan orang asing di daerah dalam Bahagian Sarikei ini, kira-kira tujuh jam memandu dari Kuching.
Ayahnya, ahli perniagaan kaya Sng Chee Hua, adalah ahli parlimen kawasan ini untuk satu penggal antara 1995 hingga 1999, mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang ketika itu komponen Barisan Nasional (BN).
Lebih kurang 90% penduduk Julau ialah Iban yang tinggal di rumah panjang yang kebanyakannya petani dan pemburu, manakala bakinya orang Cina suku Foochow.
Ahli baru
Pemimpin PKR negeri yang menyokong Azmin untuk kekal sebagai timbalan presiden percaya sebahagian besar daripada lebih kurang 13,000 ahli baru di Julau tidak akan mengundi untuk Sng mahupun Rafizi.
“Ahli yang kononnya baru ini bukannya menyertai parti secara sukarela,” kata Kedit, yang mendukung Azmin.
Kem Azmin mendakwa senarai nama ahli baru itu “diceduk” dari daftar pemilih pilihan raya umum dan didaftarkan secara dalam talian, yang tidak memerlukan tanda tangan pada borang pendaftarannya.
Mereka mendakwa sebahagian ahli baru ini tidak tahu pun mereka sudah didaftarkan sebagai ahli PKR serta mungkin kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau parti yang dulunya bersama BN.
Mereka juga mendakwa salah seorang “ahli baru” di Julau ialah wakil rakyat GPS. Ada juga dakwaan sesetengah “ahli baru” itu sudah meninggal dunia.
__full.jpg)
“Boleh tanya kenapa bakal bekas presiden (Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail) datang ke Julau berkempen untuk Rafizi dan Sng?” tanya seorang ahli parti yang enggan namanya dikenali.
“Tidak perlu berkempen pada penyokong. Untuk Dr Wan Azizah datang ke sini berkempen untuk Rafizi dan Sng menunjukkan tidak ada penyokong.
“Itu sebabnya kami tidak hairan. Tidak ada jaminan ahli baru itu akan mengundi Rafizi atau Sng.”
Wan Azizah bagaimanapun menafikan beliau ke Julau untuk berkempen.
Presiden PKR itu pada Selasa melalui jalan darat satu jam setengah dari Sibu ke Julau untuk majlis ‘Pemimpin Bersama Rakyat’ di Rumah Panjang Rengayan anak Ngumbang di Nanga Ruyak.
“Ya, beliau hadir taklimat pembangunan Julau dan Lembaga LAda Hitam yang dipengerusikan oleh Sng, di pejabat daerah. Itu muslihat saja untuk tutup alasan sebenar lawatannya ke sini,” dakwa ahli parti itu.
“Rayuan terbukanya kepada penduduk di rumah panjang pada majlis itu supaya menyokong Rafizi dan Sng menunjukkan muslihat sebenar lawatannya.”
Peningkatan mendadak keahlian PKR di Julau mencetuskan kekecohan dalam parti. Pada pemilihan parti 2010, cabang itu mempunyai 401 ahli dan hanya 66 yang mengundi. Pada pemilihan 2014, cabang itu mempunyai 635 ahli dan hanya 16 yang mengundi.
Pada 25 Oktober lepas, Kecit membuat aduan kepada SPRM mengenai peningkatan mendadak ahli PKR di Julau.
Beliau membawa isu itu ke SPRM setelah pemimpin parti di Sarawak “menggunakan semua saluran dalaman untuk menyelesaikan keraguan keanggotaan ahli baru cabang Julau”.
Sehari sebelum itu beliau membuat perakuan berkanun mendakwa pendaftaran keahlian itu tidak sah.
Dua kakitangan PKR, ketua jawatankuasa pendaftaran ahli di ibu pejabat PKR dan pegawai pusat khidmat Sng di Julau, ditahan untuk siasatan.
Azmin dan Rafizi kini bersaing sengit untuk jawatan timbalan presiden yang bergantung pada keputusan di Sarawak. Azmin kini mendahului Rafizi dengan kelebihan kira-kira 3,000 undi, berdasarkan kiraan tidak rasmi. – 9 November, 2018
Komen