Lawatan ke Sarawak tiada muslihat, kata Wan Azizah


Noel Achariam

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika bercakap kepada media selepas mengadakan lawasan ke Sekolah Tunas Bakti di Sungai Besi hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 November, 2018

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan lawatannya ke Julau, Sarawak menjelang pemilihan parti PKR di negeri itu mempunyai motif tersembunyi. 

Beliau yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, berikutan jadual asal pemilihan pemilihan parti, beliau sepatutnya tiba di Julau selepas pengundian tamat. 

“Saya sepatutnya ke sana selepas pemilihan, tetapi malangnya ia ditangguhkan. 

“Itu yang berlaku. Saya bukan ke sana untuk berkempen. Saya pun bukannya bertanding,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Tunas Bakti di Sungai Besi. 

Presiden PKR itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya yang membidas lawatan itu sebagai “tidak sesuai dan sangat dipersoalkan” kerana ia dibuat seminggu sebelum pemilihan parti di negeri itu.

Wan Azizah berkata, tiada salahnya untuk beliau hadir ke Julau, kerana beliau mahu bertemu rakyat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pegawai kerajaan.

“Ini adalah negeri pembangkang, jadi kerajaan persekutuan perlu tunjukkan kita peduli dan sedia bantu rakyat tanpa mengira sebarang diskriminasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan pelajar Sekolah Tunas Bakti ketika mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di Sungai Besi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 November, 2018 

Ketika ditanya sama ada beliau ke sana berkempen untuk Rafizi Ramli, yang bertanding merebut jawatan timbalan kepada suaminya yang juga presiden PKR Anwar Ibrahim, Wan Azizah berkata beliau tidak terlibat dalam sebarang kempen.

Cabang Julau mempunyai 13,000 ahli parti, dan merupakan antara keahlian terbesar PKR di Sarawak, menjadikan ia kemungkinan ‘kingmaker’ dalam pemilihan parti itu. 

Sarawak yang merupakan negeri terakhir untuk pemilihan, akan memulakan undian pada Sabtu ini. 

Julau turut berdepan kontroversi berhubung peningkatan mendadak ahli baharunya menjelang pemilihan parti. 

Pemilihan PKR berdepan kontroversi sejak ia dimulakan pada 22 September, termasuk mengenai sabotaj teknikal dan talian internet yang lemah. 

Pemilihan dijalankan menggunakan sistem e-voting.  

Sejak minggu lalu, berlaku kekecohan pada pemilihan di Keningau, Sabah, apabila Rafizi mendakwa diserang ketika pergaduhan tercetus antara penyokong beliau dan penyokong Azmin Ali yang mempertahankan kerusi nombor dua parti itu. – 8 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen