Pemilihan PKR malukan perjuangan reformasi, kata Latheefa Koya


CARA pengendalian pemilihan PKR lebih buruk daripada cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan pilihan raya semasa Barisan Nasional (BN) memerintah, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, Latheefa Koya.

Katanya, tindakan PKR tergesa-gesa meluluskan hampir 13,000 permohonan anggota baru cabang Julau di Sarawak memalukan perjuangan 20 tahun menuntut pembaharuan di Malaysia.

“Adalah satu penghinaan terhadap proses pemilihan jika pengundian berlangsung di Julau pada Sabtu ini. Justeru Biro Politik PKR perlu fikir dengan munasabah dan menggantung pengundian cabang itu segera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata oleh sebab PKR sekarang parti dalam kerajaan, isu ini bukan lagi urusan dalaman parti tetapi melibatkan kepentingan awam.

“Sesetengah mereka yang bertanggungjawab meluluskan pertambahan ahli di Julau, walaupun ada bantahan, memegang jawatan tinggi dalam kerajaan,” katanya.

Biro Politik PKR semalam berkata pendaftaran hampir 13,000 pengundi baru di Julau adalah sah kerana mengikut prosedur yang betul.

Latheefa berkata kenyataan media yang dikeluarkan parti itu semalam tidak menjawab isu utama melibatkan kecurian identiti serta bukti-bukti penipuan yang didedahkan berhubung pendaftaran ahli baru di Julau.

Beliau bertanya sekiranya pertambahan keahlian baru itu sah, kenapa begitu banyak orang tampil mendakwa nama mereka didaftarkan tanpa persetujuan, termasuk seorang wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Peguam itu berkata alasan tiada bantahan dibuat terhadap senarai ahli baru, tidak menghalalkan senarai keahlian palsu.

Beliau juga mempertikai dua surat pekeliling yang mempunyai angka keahlian setiap negeri yang berbeza, yang kedua-duanya ditandatangani oleh setiausaha agung parti.

“Sindrom penafian ini sama seperti perangai zaman Umno dan BN,” katanya.

Beliau merujuk surat pertama yang menunjukkan ahli baru di Julau sebanyak 66 orang sementara dalam surat kedua, ahlinya sebanyak 13,178 orang.

“Apakah penjelasan untuk kedua-dua versi ini dan bilangan sebenar ahli di bahagian Julau?” katanya. – 9 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen