Pemilihan di Cabang Pensiangan alami gangguan Internet


Jason Santos

Pengundi-pengundi di pusat pengundian pemilihan PKR di Pensiangan memeriksa talian telefon mereka. Menurut sumber, gangguan berlaku pada jam 12 tengah hari ketika proses pengundian yang bergantung kepada talian Celcom itu sedang berjalan. – Gambar The Malaysian Insight, 4 November, 2018.

PROSES e-voting pemilihan PKR di Pensiangan, Sabah tergendala selama beberapa jam selepas sistem itu terputus.

Menurut sumber, gangguan berlaku pada jam 12 tengah hari ketika proses pengundian yang bergantung kepada talian Celcom itu sedang berjalan.

“Kami hubungi syarikat telco untuk periksa apa yang berlaku dan mereka hantar pekerja mereka untuk periksa kabel.

“Mereka dapati dua kabel gentian telah dipotong, macam dipotong dengan objek tajam,” kata sumber itu.

Sementara sumber lain dalam parti mengesyaki talian sengaja dipotong untuk mensabotaj proses pengundian.

“Pensiangan ialah kubu kuat calon timbalan presiden Rafizi Ramli dan talian komunikasi mungkin sengaja dipotong kerana proses pengundian bergantung kepada talian komunikasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Talian tergendala selama hampir empat jam sejak tengah hari dan pulih semula selepas dibaiki juruteknik.

Sumber juga memaklumkan terdapat sekitar 5,000 pengundi berada di pusat mengundi dan kira-kira 1,500 ahli berjaya membuang undi sebelum berlaku gangguan.

“Proses pengundian diteruskan secara offline ketika gangguan berlaku tetapi pemantau perlukan sedikit masa untuk selaraskan data dengan ‘server’ selepas talian pulih,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada jumlah ahli di pusat pengundian itu, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mungkin dipaksa untuk melanjutkan waktu pengundian.

“peroses pengundian perlukan masa selama enam hingga tujuh jam supaya semua orang boleh mengundi.” – 4 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen