Makin banyak drama muncul di fasa terakhir pemilihan PKR


Nabihah Hamid

Pemilihan PKR bermula 23 September tidak sunyi daripada kekecohan termasuklah yang terbaharu di Kuala Selangor apabila alat penyekat telekomunikasi ditemui. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2018.

LEBIH banyak drama muncul dalam fasa terakhir pemilihan PKR apabila kedua-dua kem mendakwa lawan masing-masing melakukan salah laku serius termasuk sogokan wang dan sabotaj. 

Pemilihan yang bermula pada 23 September itu juga tidak sunyi daripada kekecohan. Terbaru, pemilihan di Kuala Selangor kecoh apabila satu alat penyekat telekomunikasi ditemui.

Alat berkenaan didakwa digunakan untuk merencatkan proses pemilihan e-voting yang dijalankan dengan menggunakan aplikasi Internet di pusat-pusat pengundian.

Kes paling serius dalam pemilihan tersebut setakat ini adalah dakwaan politik wang melibatkan kedua-dua kem penyokong Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Dua kes yang dipanjangkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu antaranya melibatkan calon Majlis Pimpinan Pusat, Zakaria Hamid melibatkan habuan kontrak RM20,000.

Seorang lagi pemimpin PKR di Kedah yang didakwa ada kaitan dengan kem Rafizi juga pernah direman polis kerana sogokan berjumlah RM20,000. 

Seorang calon naib presiden dari kem Rafizi juga dilaporkan ke SPRM atas dakwaan membeli undi dengan nilai RM500 untuk setiap undi. Dakwaan itu dinafikan calon berkenaan, ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

Di sisi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), semua perkara yang dibangkitkan adalah serius. Mereka maklum mengenai dakwaan amalan politik wang namun tidak dapat bertindak lanjut kerana pengadu gagal membawa bukti kukuh.

Polis perlu siasat, pengawas pemilihan perlu adil

Selain amalan politik wang, aduan yang diterima juga melibatkan perebutan pengundi, dan perbuatan membawa masuk bukan anggota untuk mengundi.

Masalah capaian Internet juga menyebabkan pemilihan tergendala di Kedah dan Melaka dan dibimbangi akan berulang di banyak kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah minggu ini.

Masalah capaian Internet itu menyebabkan kesesakan di pusat pengundian dan menyebabkan undi yang hilang atau tidak dapat dikesan, seperti kes 2,000 undi tidak dikembalikan di Melaka.

Kedua-dua kem lantang mempersoalkan kepincangan ini dan menggesa agar segala sabotaj berkenaan dihentikan.

Melaka mungkin mengadakan semula mengundi dalam Pemilihan PKR susulan lima daripada enam cabang tergendala susulan masalah e-voting. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2018.

Naib Presiden Tian Chua berkata, masalah dalam pemilihan berkenaan, seperti kes memasang alat sekatan komunikasi di Kuala Selangor perlu disiasat polis.

“Saya rasa isu sebenar adalah kelemahan manusia sebab apa yang terjadi di Kuala Selangor bukan masalah sistem. Ada orang sabotaj meletakkan jammer, saya fikir ia perlu dipanjang ke polis, sebab melibatkan kes jenayah.

Tidak kurang juga yang mengaitkan kelemahan dalam pemilihan tersebut dengan prestasi JPP, seperti dibangkitkan Akmal Nasir, calon Ketua AMK kem Rafizi.

 “Dari segi atasi pelbagai masalah (dalam pemilihan), kita kena pastikan pengawas JPP yang menjalankan tugas adil dan tidak boleh pilih kasih,” katanya 

Seorang calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Rashid Hasnon juga berharap JPP mengambil kira pelbagai aduan untuk mengatasi masalah yang berlaku sebelum ini.

“Hanya tinggal dua negeri saja. Ini penting kerana cara e-voting ini menjadi aras tanda dalam Malaysia dan parti-parti yang lain. Kita yang pertama lakukan,” kata timbalan speaker Dewan Rakyat itu, yang menyokong Azmin.

Seorang lagi calon, Abdullah Sani berkata sekiranya masalah sama berterusan penggunaan e-voting perlu dikaji semula pada pemilihan akan datang.

“Kalau berterusan begini, nampak banyak perlu dikaji semula. Masalah Internet misalnya sebab itu penambahbaikan bagaimana penggunaan peranti perlu diatasi.

“Sistem perlu dipantau, dan kena elak undi datang undi hantu dan sebagainya,“ kata ahli Parlimen Kapar itu.

E-voting tidak sempurna

Isu berkenaan diakui sebagai antara aduan yang diterima, kata Timbalan Pengarah JPP, Dr Adzman Hedra yang mempertahankan integriti sistem e-voting.

Jelasnya, undi tidak dapat dimanipulasi kerana penipuan dan undi ragu yang diterima dapat dikesan melalui sistem e-voting.

“Undi ragu memang banyak. Ramai calon bawa pengundi bukan ahli tetapi sistem e-voting ini sangat cekap dan tidak sewenang-wenangnya mereka boleh menipu,” katanya.

Adzman Hedra berkata juga memberi jaminan akan memperkemaskan proses pengundian di fasa terakhir. 

“Ia adalah sistem yang asli dari PKR. Tidak saya katakan sempurna tetapi boleh habis semua sudut kita liputi. Kita sepatutnya rasa bangga kerana sistem ini yang pertama kali diperkenal dan parti berani mencuba. 

“Kita sedar bila jadi pencetus meneroka (e-voting) memang banyak cabaran, sebab kita melaksanaka apa kita mampu rancang. 

“Malangnya apa beberapa masalah berlaku tetapi kekuatan sistem dari segi konsepnya, tiada masalah. Kita hanya perlu memperkemaskan dan menyusun tenaga kerja,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Pemilihan Sabah akan diadakan pada 3 dan 4 November ini manakala 10 November akan menyaksikan pengundian di Sarawak. 

Tarikh 11 November merupakan hari terakhir pengundian di cabang Kuala Selangor, Melaka dan Cabang Jelebu di Negeri Sembilan. 

Adzman memberi jaminan, proses pengundian berkenaan akan berjalan lancar. 

“Kita ada rancangan kedua. Selain kita sudah masukkan data dengan lebih awal. Sekiranya talian tidak bagus, maka kita akan buat secara offline,” katanya. – 2 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen