SESI pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain ekoran masalah liputan Internet yang lemah untuk digunakan pada sistem e-voting bagi membolehkan ahli parti itu mengundi.
Penangguhan itu disahkan oleh Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Bukit Melawati Juwairiyah Zulkifli yang bertanding sebagai calon ketua Cabang PKR.
Juwairiyah menyuarakan kekecewaan terhadap masalah yang sama masih berlaku walaupun proses pengundian sudah berlangsung di lebih 10 negeri.
“Apabila capaian internet lemah, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sudah usahakan membawa keluar (dewan) tapi masih perlahan.
“Bila terlalu perlahan ramai ahli bising kerana lambat. Kemudiannya JPP panggil ketua cabang untuk berbincang sebab ada desakan yang minta tangguh.
“Di pihak saya, saya sudah cuba usahakan membantu mereka. Saya kata kepada mereka, sudah tahu hendak pakai e-voting, mestilah perlukan Internet.
“Tetapi mereka tidak buat pelan sokongan. Kalau sudah tahu risiko besar masalah internet, buatlah pelan sokongan,” kata calon Ketua Cabang Kuala Selangor itu.
Katanya, JPP telah membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan cabang yang mempunyai 13,727 anggota itu ke hari lain.
Katanya sejak 9 pagi, ahli PKR sudah memenuhi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor itu.
Mereka bagaimanapun mula beransur pulang pukul jam 12 tengahari selepas e-voting tidak dapat berfungsi dengan baik.
Pengarah JPP Rashid Din dalam satu kenyataan mengesahkan pemilihan terpaksa ditangguhkan disebabkan kegagalan isyarat telekomunikasi.
“Semua calon telah sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan pemilihan pada hari ini. Oleh yang demikian, JPP mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor pada jam 12 tengahari.
Sebelum ini, Kedah mengalami masalah sama dan baru saja selesai membuat pengundian buat kali kedua dua hari yang lepas.
Pemilihan di Melaka juga tergendala kerana capaian Internet yang lemah sehingga menyebabkan 2,000 undi “hilang” di beberapa cabang di Melaka.
Menurut pakar teknologi maklumat, data tersebut tidak dapat disimpan secara “cloud” kerana capaian internet yang lemah. – 28 Oktober, 2018.
Komen