Hentikan segera sabotaj dalam pemilihan PKR, kata Zuraida


Nabihah Hamid

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin kecewa kerana Jawatankuasa Pemilihan Parti masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan cuba mensabotaj pemilihan walau polis mengesahkan penemuian alat penyekat isyarat telekomunikasi di lokasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.

PKR perlu mengakui masalah sabotaj yang berlaku dalam pemilihan parti dan menghentikannya segera, kata ketua sayap wanitanya Zuraida Kamaruddin.

Katanya PKR tidak boleh menafikan perkara itu, katanya yang memberi contoh kes sekatan isyarat komunikasi sewaktu pemilihan di cabang Kuala Selangor semalam.

Beliau kecewa kerana Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan walau polis mengesahkan penemuian alat penyekat isyarat telekomunikasi di lokasi.

“Polis telah mengesahkan menjumpai alat penyekat signal (jammer) dan nampaknya pihak yang bimbang akan tewas dalam pemilihan parti.

“Mereka letak jammer supaya sistem tergendala. Jadi itu sabotaj yang jelas dan sangat serius. Pemilihan parti sangat kritikal sekarang,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

Justeru katanya perkara ini perlu diambil perhatian bagi mengelakkan perkara sama seperti amalan politik wang dan masalah liputan internet berulang di Sabah dan Sarawak.

Malah, parti juga perlu ambil tindakan tanpa menunggu laporan atau aduan dibuat mengenai masalah yang berlaku.

“Ia berbunyi seperti kerajaan BN kena tunggu laporan dan ambil tindakan. Ia sangat jelas mereka perlu bertanggungjawab dengan pemilihan ini. Jika ada perkara berlaku anda perlu proaktif,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi jawatankuasa aduan dan rayuan Dr Syed Husin Ali yang menyawatakan jawatankuasa itu tidak menerima sebarang laporan mengenai politik wang. – 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen