JAWATANKUASA Pemilihan Parti (JPP) PKR tidak memperolehi bukti kukuh berhubung dakwaan politik wang dalam pemilihan parti PKR 2018 yang berlangsung sejak 22 September lalu.
Pengarahnya Rashid Din berkata pihaknya menerima tiga aduan kes membeli undi namun bukti yang diberikan pengadu tidak cukup untuk tindakan terhadap calon yang dituduh.
“Kita akan ambil tindakan kalau ada bukti yang nyata. Setakat ini hanya bagi bukti-bukti gambar. Kita terima dua tiga aduan politik wang, tapi tiada bukti kukuh,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selain gambar, dakwaan bukti yang diperolehi juga dalam bentuk video dan surat akuan sumpah oleh penuduh.
“Bukti sekarang, adalah mereka bagi gambar, surat akuan bersumpah tengok orang bagi duit. Mana boleh (terima) surat macam itu.
“Video pula hanyalah suasana mengundi dan bukan tunjuk orang bagi duit,” katanya yang enggan mendedahkan secara terperinci kes berkenaan.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail telahpun memberi jaminan akan menyiasat dakwaan Naib Presiden Rafizi Ramli berhubung dakwaan tawaran RM100 untuk satu undi di beberapa buah negeri.
Namun Rafizi yang juga calon timbalan presiden itu turut dikaitkan dengan politik wang apabila peguam PKR, Latheefa Koya mendedahkan mengenai edaran kupon makanan bertarikh 14 Oktober kepada pengundi.

Mengulas perkara itu, Rashid Din berkata JPP tidak akan mengambil tindakan terhadap pencabar Mohamed Azmin Ali itu kerana kupon makanan tidak dikira politik wang.
“Politik wang adalah calon bagi duit (pada pengundi). Kupon makanan tiada masalah,” katanya lagi.
Rashid dalam pada itu berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya pihaknya menerima bukti kukuh berkaitan beli undi kelak.
“Tindakan boleh diambil kita gugurkan dari pencalonan serta kemenangan dibatalkan. Kita juga akan panjangkan pada biro disiplin. Mereka akan tentukan darisegi lain.
“Kita hanya berkaitan dengan pemilihan saja tindakan,” katanya lagi. – 25 Oktober, 2018.
Komen