PERTANDINGAN dua penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden PKR bagi Selangor Fasa Tiga menyaksikan, Azmin Ali di depan dengan 4137 undi manakala Rafizi Ramli, 2,097 undi.
Lebih memeranjatkan, Rafizi Ramli tewas di kubu kuatnya apabila meraih 508 undian dan Azmin dengan 715 undian.
Rafizi bagaimanapun kekal optimis untuk memenangi jawatan itu untuk pemilihan akan datang yang diadakan di Sabah dan Sarawak.
“Azmin dahului 1000 undi didepan saya. Sedangkan bacaan mereka, untuk selesa adalah 3,000-4,000 undian selepas selesai pemilihan di Semenangjung.
“Itu beri langkah yang baik apabila kita mulakan kempen di Sabah dan Sarawak. Saya rasa kita ada kelebihan disana, saya ingat di Sabah dan Sarawak kita boleh dapatkan kelebihan 5,000, undi,” kata beliau ketika bertemu penyokongnya selepas diumumkan sebagai Ketua PKR Cabang Pandan.
Tambah beliau, penyokongnya kini boleh tidur dengan lena kerana tidak perlu gusar dengan keputusan tersebut.
“Semua boleh tidur baik malam ini, yang tak boleh tidur lena adalah Azmin dan Zuraidah,” jelasnya yang mendapat sorakan gemuruh daripada para penyokongnya.
Ketika ditanya tentang bagaimana Azmin boleh mendahuluinya di Pandan, beliau mendakwa pasukan Azmin telah memindahkan lebih 1,000 pengundi dari Ampang ke Pandan.
“Dia (Azmin) pindahkan lebih 1,000 orang dari Pandan. Haniza Talha bukan orang sini, Nor Hayati Haron (calon Ketua Cabang Pandan) adalah Ahli Majlis Ampang.
“Ia adalah sistem parti yang dibenarkan. Jadi, saya terima,” jelasnya kepada media.
The Malaysian Insight masih belum mendapat maklum balas daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali mengenai dakwaan tersebut.

Azmin Ali mendapat undian majoriti di cabang Tanjung Karang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.
Cabang Kuala Selangor bagaimanapun ditangguh ekoran masalah teknikal dalam e-voting serta didapati mempunyai unsur sabotaj.
Pemilihan hari ini juga menyaksikan, Azmin mendahului dengan 49,969 undi terkumpul, berbanding jumlah 48,558 undi dikumpul Rafizi.
Rafizi Ramli memenangi jawatan Ketua Cabang Pandan dengan 566 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Haniza Mohd Talha (405), Nor Hayati Haron (353), dan Mohamad Shauki Mohd Hashim (71).
Pemilihan PKR yang bermula 23 September lalu bakal memasuki fasa terakhir dengan pengundian di Sabah selama dua hari iaitu 3 dan 4 November manakala Sarawak pada 10 November ini. – 28 Oktober, 2018.
Komen