PEMILIHAN PKR Cabang Pandan menyaksikan Rafizi Ramli berjaya memenangi jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Pandan dengan 566 undi.
Beliau menewaskan tiga calon lain iaitu Haniza Mohd Talha (405), Nor Hayati Haron (353), dan Mohamad Shauki Mohd Hashim (71).
Sebelum ini, jawatan tersebut disandang Muhammad Ishak Zainuddin, tetapi beliau tidak lagi bertanding pada pemilihan kali ini.
Seramai 7071 ahli parti layak mengundi tetapi hanya 1883 ahli yang hadir mengundi di cabang tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jumlah undian yang diperolehinya kerana tidak padan dengan jumlah kehadiran pengundi.
“Ada beberapa perkara yang perlu kita semak. Resit (mengundi) yang dikeluarkan banyak lebih kurang 1200 bila undi ada 500 lebih, itu kita perlu semak,” kata beliau lagi.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa, jurang tersebut berlaku kerana Azmin Ali telah membawa masuk penyokongnya dari Ampang untuk mengundi di Pandan.
“Walaupun kami semak wujudnya beza besar antara resit keluar mengundi dan jumlah undi tp atas pindahan undi 1,000 dari Ampang, kami tidak terkejut,” jelasnya lagi.
Rafizi sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Kemaman sejak 2010.
Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian adalah ahli-ahli PKR Pandan secara majoriti mengundi Azmin untuk jawatan timbalan presiden.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Azmin Ali mendahului dengan 4137 undi di cabang tersebut manakala Rafizi, 2097 undi.
Beliau mendakwa, terdapat taktik yang boleh dipersoalkan di pemilihan cabang itu.
Fasa terakhir Pemilihan PKR hari ini berakhir melibatkan enam cabang iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota layak mengundi. – 28 Oktober, 2018.
Komen