UNSUR sabotaj mungkin menjadi faktor penangguhan pemilihan PKR di Cabang Kuala Selangor selepas sistem e-voting gagal berfungsi kerana mengalami masalah isyarat Internet yang lemah.
Andaian itu dibangkitkan susulan penemuan alat yang didakwa digunakan untuk menyekat isyarat telekomunikasi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor pukul 2 petang, lokasi pengundian di Cabang PKR Kuala Selangor.
Susulan itu, calon Ketua AMK Cabang Kuala Selangor Sabah Bathi Raja Linggam membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Selangor pada 2.40 petang untuk memastikan perkara itu disiasat.
“Kita rasa pelik dengan kejadian ini. Selepas pengundian batal (tangguh), saya masih ada di sana untuk membantu membuka khemah. Saya diberitahu oleh pekerja stadium bahawa mereka terjumpa alat tersebut.
“Ini adalah satu sabotaj. Saya harap polis dapat melakukan siasatan,” katanya.
Sesi pemilihan Cabang PKR Kuala Selangor yang memiliki 13,727 ahli itu terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Rashid Din selepas dimaklumkan tentang masalah kegagalan sistem e-voting berfungsi akibat capaian Internet yang lemah.
“Semua calon telah sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan pemilihan pada hari ini. Oleh yang demikian, JPP mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor pada jam 12 tengahari,” katanya.
Ini merupakan kali ketiga pemilihan PKR mengalami masalah sama. Sebelum ini pemilihan Kedah kecoh sehingga terpaksa melakukan penangguhan pemilihan manakala proses pemilihan di Melaka Melaka menyaksikan hampir 2,000 undi hilang gara-gara capaian Internet yang lemah.
.jpeg)
Sementara itu, Penolong JPP Roswari Bahrin yang menjaga proses pemilihan di Kuala Selangor terkejut apabila ditanya mengenai kewujudan alat penyekat berkenaan.
“Saya tidak dimaklumkan apa-apa. Jammer apa benda pun saya tidak tahu. Dari pagi tadi tiada apa yang curiga berlaku.
“Tapi tidak pula saya perasan kakitangan atau pekerja stadium,” kata ketika dihubungi The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight sedang mendapatkan maklum balas JPP peringkat pusat mengenai hal tersebut.
Menurut sumber polis di Kuala Selangor, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi memastikan alat tersebut berfungsi sebagai penyekat telekomunikasi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor dijangka mengeluarkan kenyataan media hari ini berhubung perkara itu. – 28 Oktober, 2018.
Komen