AZMIN Ali menang di Selangor dengan meraih majoriti 3,407 undi untuk mengekalkan penguasaaan bagi mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR, menurut sumber parti.
Jumlah undi tidak rasmi yang disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menyaksikan Azmin menang di lima cabang iaitu Tanjung Karang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.
Cabang Kuala Selangor bagaimanapun ditangguh ekoran masalah teknikal dalam e-voting.
Sumber PKR Perak juga menyebut, Rafizi Ramli pula menjadi pilihan 20 daripada 24 cabang PKR di Perak yang memberi kelebihan 2,301 kepada pencabar Azmin itu.
Rafizi meraih 6,785 undi berbanding 4,484 undi diperolehi Azmin di Perak.

“Kita akur dengan kehendak anggota PKR dan terima keputusan Perak. Selepas ini di negeri lain perlu lebih kerja keras lagi,” kata Ketua Penerangan PKR Perak Siti Aisah Shaik Ismail yang berkongsikan jumlah undian tidak rasmi tersebut.
Keputusan itu membolehkan Azmin kembali mendahului dengan 49,969 undi terkumpul, berbanding jumlah 48,558 undi dikumpul Rafizi untuk fasa ketiga pemilihan setakat ini.
Pemilihan PKR yang bermula 23 September lalu bakal memasuki fasa terakhir dengan pengundian di Sabah selama dua hari iaitu 3 dan 4 November manakala Sarawak pada 10 November ini. – 28 Oktober, 2018.
Komen