Jika di Selangor bermasalah, bagaimana Sabah dan Sarawak, soal Tian Chua


Zaim Ibrahim

Tian Chua mengulas masalah capaian Internet yang berlaku di pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2018.

CALON Naib Presiden PKR Tian Chua mempersoalkan keupayaan Jawantankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk melaksanakan sesi pemilihan PKR di Sabah dan Sarawak susulan penangguhan proses pengundian di Cabang Kuala Selangor hari ini ekoran masalah liputan Internet yang lemah.

Tian juga menyatakan kekecewaan dan sukar menerima alasan tersebut, sekali gus menyalahkan Setiausaha Agong PKR dan JPP atas pelbagai masalah yang berlaku sepanjang sesi pemilihan parti.

“Banyak telah dilaburkan daripada segi tenaga, sumber, dan perbelanjaan beribu-ribu (wang) untuk sistem e-undi.

“Bagaimana dengan Sabah dan Sarawak? Di sana, kemudahannya tidak seperti di Semenanjung,” kata beliau ketika ditemui media ketika melawat pusat mengundi parti itu di Cabang Pandan, di sini, hari ini.

“Saya mengkritik Setiausaha Agong dan JPP kerana tidak bersedia dan gagal menjangkakan apa-apa masalah akan berlaku. Sepatutnya, (masalah) harus dijangka dan bukan tunggu berlaku baru bertindak.” 

Katanya, sama ada menggunakan sistem undian tradisional atau e-voting, ia bukanlah isu sekiranya pihak JPP bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagi calon Ketua Wanita PKR Haniza Talha, beliau menggesa pemilihan untuk negeri-negeri akan datang dilakukan secara sistem tradisional.

“Saya nasihatkan untuk hentikan sistem e-voting. Baliklah semula kepada sistem lama (undian secara pangkah). Ia lebih telus, boleh dikira semula.

Sesi pemilihan PKR yang berlangsung di enam cabang di Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Oktober, 2018.

“E-vote tidak mesra pengguna. Untuk generasi tua tidak biasa (sistem digital), tidak adil kepada mereka,” kata beliau.

Tambahnya, beliau turut menggesa sekretariat pendaftaran parti agar memperbaharui senarai ahli.

Menurutnya, terdapat beberapa kes beberapa individu yang bukan ahli mengambil kesempatan dengan mengisi borang 11 untuk keahlian parti dan mengundi.

Malah, terdapat nama-nama ahli parti yang telah keluar parti dan meninggal dunia masih wujud dalam sistem senarai ahli parti.

Proses pengundian hari ini menyaksikan berlangsungnya fasa kedua pemilihan PKR Negeri Selangor melibatkan enam cabang iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota layak mengundi.

Tanjong Karang mempunyai 3,418 anggota, Kuala Selangor (17,737), Ampang (12,626), Pandan (7,017), Shah Alam (9,309) dan Hulu Langat (11,858).

Bagaimanapun proses pemilihan parti itu di Cabang PKR Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan selepas menghadapi masalah teknikal.

Masalah yang hampir sama selain kelemahan petugas pusat mengundi juga berlaku pada pemilihan PKR di sembilan cabang di Kedah sehingga terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Minggu lepas pula, proses pemilihan di lima daripada enam cabang di Melaka tergendala selepas berlaku masalah pada sistem undi elektronik menyebabkan undi hilang daripada sistem. – 28 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen