Siapa raih untung projek mega di Pulau Pinang?


K. Kabilan

Projek penambakan laut di Pulau Pinang mendapat bantahan banyak pihak kerana ia menjejaskan alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2018.

PETA terbaharu Pulau Pinang yang dibentangkan oleh sebuah syarikat hartanah terkemuka pada September lalu menunjukkan kemajuan yang mahu dibangunkan oleh kerajaan negeri di pulau itu.

Antaranya termasuk pembangunan lebuh raya, terowong dan rangkaian perhubungan antara penduduk serta pulau buatan bagi menarik lebih banyak perniagaan dan pelabur.

Wajah baharu Pulau Pinang ini menunjukkan bagaimana kerajaan negeri yang diketuai DAP mahu ia dibangunkan dan impian mereka ini disokong penuh oleh syarikat pemaju dan kontraktor.

Bagaimanapun impian kerajaan negeri itu mengundang bahaya terhadap alam sekitar di sekitar pulau itu yang sudah terpalit dengan tragedi tanah runtuh dan bencana banjir, seperti yang dibimbangi oleh kumpulan aktivis.

Dan kumpulan aktivis itu juga berasa kesal dengan sikap kerajaan negeri yang enggan mendengar keluhan mereka itu yang ternyata berasas.

“Peta ini menunjukkan bagaimana pembangunan di Pulau Pinang pada masa depan dan beberapa daripada projek ini tidak mendapat kelulusan,” kata aktivis warisan Khoo Salma Nasution.

Salma merupakan sebahagian ahli Penang Forum, kumpulan aktivis yang paling lantang menentang keputusan kerajaan negeri membina lebih banyak jalan dan projek di cerun bukit.

Khoo Salma Nasution dari Penang Forum sentiasa konsisten menentang projek mega di Pulau Pinang yang memberi kesan terhadap alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2018.

Beliau juga mendedahkan pernah melihat sendiri segelintir syarikat pembaju atau wakil mereka berkelakuan angkuh walaupun ketika berurusan dengan pegawai kerajaan.

“Ini adalah kes yang berlaku dalam hampir setiap projek besar yang dirancang di Pulau Pinang. Syarikat pemaju hanya mengikut cara sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Melihat kepada sikap pemaju ini dan kaitan mereka dengan kerajaan negeri, sesetengah aktivis turut mempersoalkan siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada semua projek mega di pulau itu.

Anil Netto, seorang penulis blog dan aktivis daripada Aliran, berkata masih kurang ketelusan dalam cara rundingan dibuat, dan ada kemungkinan berlaku konflik kepentingan.

“Kami tidak tahu jenis pembiayaan yang terbabit dalam rundingan itu. Apa kos bagi setiap komponen,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada masa ini, projek terbesar yang dirancang di pulau itu ialah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) di mana kosnya kini dianggarkan RM46 bilion. Di bawah pelan itu, cadangannya ialah membina pakej tiga jalan dan terowong bawah tanah di mana akan menjadi jaringan ketiga menghubungkan pulau dengan tanah besar.

Projek itu dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Selain itu, Konsortium SRS yang terdiri daripada Gamuda (60%) dan syarikat pemaju hartanah di Pulau Pinang, Ideal Properties (20%) dan Loh Phoy Yen (20%) akan membina Pan-Island Link 1 (PIL1), transit aliran ringan (LRT) dan monorel.

Projek Konsortium SRS akan dibiayai menerusi lelongan tiga plot tanah tambak di selatan bahagian pulau.

Lebuh raya dua hala itu akan menghubungkan Gurney Drive, Batu Ferringhi dan Air Itam dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sementara aliran LRT akan menghubungkan Bayan Lepas ke George Town, dan Butterworth ke George Town.

Anil berkata pemaju akan mencipta konflik kepentingan jika mereka tender sebarang pakej kerja pelan yang sudah pun mereka bangunkan.

“Jadi, Gamuda tidak boleh tender untuk bina LRT atau PIL, dan Ideal dan Loh Phoy Yen tidak boleh mohon untuk sebarang tanah tambak tanpa mewujudkan konflik kepentingan,” katanya.

Lebuh raya baharu akan bermula di utara pulau di mana projek mega baharu sedang dijalankan di tanah tambah Gurney Drive ke selatan di mana tiga pulau buatan manusia dibina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2018.

Di sebalik cakap-cakap tentang konflik kepentingan yang dibangkitkan oleh aktivis, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum ini berkata peranan Konsortium SRS ialah fasilitator projek dan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada agensi persekutuan.

“Mereka bukan kontraktor tunggal yang terlibat. Masih ada komponen kerja menerusi tender terbuka,” katanya dilaporkan berkata pada Julai.

“SRS bertanggungjawab mendapatkan kelulusan dan membantu kami bersedia untuk pembinaan. Segmen kerja akan ditender kepada kontraktor tempatan sepanjang projek itu.”

Tetapi aktivis seperti Anil tidak yakin dengan kenyataan itu.

“Kenapa perlu ada dua pemaju hartanah berpangkalan di Pulau Pinang dalam Konsortium SRS? Kenapa tidak ambil konsultan saja.

“Soalannya ialah siapa yang dapat manfaat daripada semua projek ini? Projek ini untuk siapa? Rakyat Pulau Pinang atau pemaju?”

Salma juga membangkitkan persoalan adakah projek PIL1 dilaksanakan untuk memenuhi keperluan masyarakat ekspatriat yang dijangka membeli hartanah mewah di laluan lebuh raya baharu itu.

Beliau berkata lebuh raya baharu itu akan bermula di utara pulau di mana projek mega baharu sedang dijalankan di tanah tambak Gurney Drive ke selatan di mana tiga pulau buatan manusia adalah sebahagian kawasan di mana PTMP berada.

“Harga hartanah di Pulau Pinang sudah pun tinggi. Dan projek impian di utara dan selatan akan melangkau kemampuan penduduk tempatan. Nampak sangat pemaju menyasarkan untuk pembeli warga asing.

“Jadi, adakah lebuh raya baharu itu dibina untuk warga Pulau Pinang baharu ini?

“Dan mereka bina kondominium untuk populasi yang masih belum ada di sini lagi,” katanya.

Beliau berkata sudah ada perancangan untuk membangunkan Pulau Jerejak dengan pangsapuri mahal dan hotel.

Pulau itu akan dihubungkan dengan pulau buatan manusia di pantai bahagian pulau berhampiran pusat beli-belah Queensbay. – 28 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen