Siapa Tok Pa, soal Ahmad Zahid


Zaim Ibrahim

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulas ringkas tentang keputusan Mustapa Mohamed bersama Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

KEPUTUSAN bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat memberi ‘luka mendalam’ terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika ditanya tentang keputusan Mustapa atau Tok Pa yang menyertai Bersatu semalam, Ahmad Zahid juga seolah-olah enggan memberi ulasan lanjut.

“Siapa Tok Pa itu? Tak kenal dia pun,” katanya ringkas dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama Perhimpunan Agung MIC ke-72 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Jeli itu mengumumkan menyertai Bersatu seperti diumumkan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya yang turut dihadiri oleh Mustapa sendiri.

“Saya amat sukacita kerana kita terima keahlian dari bekas tokoh Umno. Kita telah beri masa kepadanya untuk jadi anggota Parlimen bebas dan setelah kita lihat pendiriannya maka kita setuju beliau layak jadi anggota parti Bersatu,” kata Mahathir Mohamad.

Pada awalnya, Mustapa meninggalkan Umno pada 18 September lalu selepas bersama parti itu selama 40 tahun.

Mustapa turut menjelaskan, pendiriannya untuk menyertai Bersatu adalah disebabkan Umno sukar untuk memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti itu.

Tambahnya, tiada tanda-tanda majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan Umno.

Mustapa Mohamed (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat parti di Petaling Jaya semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

Penyertaan Tok Pa ke dalam parti komponen kerajaan juga tidak ditawarkan sebarang jawatan dalam parti mahupun kerajaan.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus di peringkat pucuk pimpinan parti untuk memberi sebarang jawatan kepada Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli. 

Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah turut memberi respon bahawa, penyertaan itu bukanlah satu berita yang mengejutkan.

Hal ini demikian, Tok Pa mempunyai hubungan baik dengan Dr Mahathir Mohamed serta merupakan anak didik kepada Daim Zainuddin. 

Mustapa adalah antara lima ahli Parlimen dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meninggalkan Umno sejak parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau menjadi ahli Parlimen kawasan itu sejak ia diwujudkan pada 1995 dan kalah hanya sekali pada 1999, kesan peralihan undi Melayu kepada pembangkang dalam pilihan raya umum ke-10.

Penyertaan Mustapa menambah bilangan Ahli Parlimen Bersatu di Parlimen, menjadikan jumlah terkini seramai 14 orang. 

Pada 1 Julai lalu, bekas ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin keluar parti sehari kerana melihat tiada isyarat Umno mahu berubah selepas kalah PRU14.  

Beliau keluar sehari selepas pemilihan parti yang mengangkat Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali juga keluar Umno pada 24 Jun disusuli  Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tiga hari kemudian. – 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen