PAS tak terkejut keputusan Tok Pa sertai Bersatu


PAS menyifatkan Tok Pa sebagai orang yang rapat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

PAS tidak terkejut dengan keputusan bekas pemimpin Umno Mustapa Mohamed untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Mohd Amar Nik Abdullah.

Naib presiden parti Islam itu berkata pihaknya menjangka perkara itu kerana Mustapa mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed.

Beliau menyatakan bahawa Mustapa juga merupakan anak didik kepada Daim Zainuddin.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai hak peribadinya tetapi secara politik semua orang bebas menyertai parti pilihan mereka.

“Di Dewan Rakyat, bagaimanapun, dia akan menghadapi bekas rakannya daripada Umno,” katanya dilaporkan sebagai berkata hari ini.

Semalam bekas menteri perdagangan dan industri itu menyertai Bersatu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan telah mengambil sedikit masa untuk menerima Mustapa selepas keluar daripada Umno untuk mengetahui sikap beliau mengenai perkara tertentu.

“Kami telah beri beliau masa untuk menjadi bebas dan menilai pendiriannya, sama ada beliau layak menjadi anggota Bersatu.”

Mustapha berkata beliau gembira dapat menyertai bekas pemimpin Umno dalam parti Bersatu dan keahliannya dalam parti pemerintah akan memberi manfaat kepada kawasannya.

“Saya percaya ia akan memberikan saya peluang untuk membantu penduduk saya di Jeli.

“Saya menyokong keputusan Dr Mahathir untuk menggalakkan kepimpinan integriti. Saya juga sokong langkah-langkah yang diambil Dr Mahathir bagi menstabilkan ekonomi sekarang, “katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu keluar daripada Umno pada 18 September yang menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti setelah pemimpin kanan parti menghadiri muktamar tahunan PAS di Kuala Terengganu.

Mustapa, yang lebih dikenali sebagai Tok Pa, juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Lanas di Kelantan.

Beliau yang berusia 68 tahun itu adalah antara lima Ahli Parlimen dan 13 Adun yang keluar parti sejak PRU14. Kemasukan Mustapa menjadikan jumlah Ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat sebanyak 14 orang. – 27 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen