NGO Malaysia mahu bekal air bersih kepada 60,000 pelarian Rohingya 


Keadaan di kem pelarian mega Kutupalong di wilayah Ukhia, Cox Bazar, Bangladesh selepas setahun penempatan itu dibuka. – Gambar EPA, 26 September, 2018

SEKURANG-kurangnya 60,000 pelarian Rohingya di kem pelarian mega Balukhali/Kutupalong di wilayah Ukhia, Cox’s Bazar, Bangladesh akan menerima bekalan air selamat diminum menjelang Disember depan.

Ia susulan kerjasama Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) dan Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) untuk membina lima sistem rawatan air medan SafeWhere di kem pelarian terbesar di rantau Asia itu.

Setiap sistem rawatan air berkuasa solar yang dibangunkan Imaret dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berupaya membekalkan 12,500 liter air sehari untuk kegunaan 6,000 pelarian.

Koordinator Imaret, Dr Ahmad Munawar Helmi, berkata kerjasama dengan MVM yang akan mengumpul dana melalui kempen di media sosial bakal menyaksikan 10 sistem rawatan air SafeWhere dibina di Cox’s Bazar.

Katanya, ini menjadikan kesemua 60,000 pelarian bakal mendapat manfaat bekalan air selamat diminum dalam sehari iaitu bersamaan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 600,000 populasi pelarian Rohingya di wilayah itu.

“Kami mendapati sumber air tercemar adalah punca penyakit bawaan air di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar.

“SafeWhere membekalkan air selamat diminum dan bukan sekadar air bersih untuk kegunaan harian,” katanya pada sidang media khas mengenai kerjasama MVM-Imaret untuk mengumpul dana SafeWhere di Pejabat Urusan MVM di Puchong, dekat sini pada Rabu.

Presiden MVM, Muhammad Jantan, berkata pihaknya akan menjalankan kempen pengumpulan dana sasaran RM300,000 bagi membina sistem rawatan air berkuasa solar itu melalui media sosial mulai hari ini.

Beliau berkata MVM bekerjasama dengan Imaret kerana penyediaan sistam rawatan air itu akan memberi manfaat jangka panjang kepada pelarian Rohingya di Bangladesh selain sejajar dengan matlamat MVM untuk membantu komuniti terpinggir dalam aspek pembangunan.

“Kita juga akan menghantar sepasukan sukarelawan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti lokasi sesuai sebelum penghantaran misi utama yang dijangka dilaksana pada hujung tahun ini.

“Kerjasama ini bukan sekadar membina sistem rawatan air tetapi bertujuan meningkatkan kesedaran umum tentang perbezaan antara air selamat diminum dengan air bersih untuk kegunaan harian,” katanya.

Kebanyakan telaga tiub yang terdapat di kem pelarian hanya membekalkan air bersih untuk kegunaan harian dengan sebahagian daripadanya tercemar kerana telaga tiub terbabit dibina tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.

Imaret sebelum ini memasang lima sistem rawatan air SafeWhere, termasuk satu di Hospital Medan Malaysia pada Ogos lalu, untuk kegunaan pelarian Rohingya dan komuniti setempat.

Lebih 700,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu ekoran operasi tentera Myanmar di wilayah utara Rakhine yang menggemparkan masyarakat dunia.

Mana-mana pihak yang ingin menyokong kempen ini boleh melayari laman sosial Facebook dan Instagram MVM serta IMARET selain melayari laman sesawang www.mvm.org.my. – Bernama, 26 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen