Seorang lagi pemimpin keluar Umno


Ketua Umno Bahagian Cheras Syed Ali Al-Habshee pula umum keluar parti hari ini. Minggu lalu, dua ahli Parlimen Umno keluar parti iaitu Mustapa Mohamed dan Anifah Aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

KETUA Umno Bahagian Cheras Syed Ali Al-Habshee mengumumkan keluar Umno, tidak sampai seminggu selepas dua ahli Parlimen dan bekas menteri Kabinet pentadbiran Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti itu.

Bekas Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu berkata beliau keluar Umno demi menjaga survival orang Melayu di Kuala Lumpur.

“Secara rasminya saya nak beritahu saya ambil keputusan yang berat untuk saya umumkan di sini… dengan rasminya saya keluar daripada Umno,” katanya, dalam satu rakaman video yang beredar di media sosial.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed keluar Umno kerana hala tuju parti terbesar orang Melayu itu sudah tidak lagi selari dengan jiwanya.

Tidak sampai 24 jam, Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman yang juga bekas menteri luar kerajaan BN keluar parti atas alasan gagal mengembalikan hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan mendoakan supaya niat saya (keluar Umno) untuk kepentingan orang Melayu akan dapat saya teruskan dan perjuangkan.

“Ini satu risiko, bukan senang, saya nak umumkan pun berat tapi insya-Allah, Allah permudahkan perjuangan saya dan niat saya,” katanya, sambil menahan sebak.

Dua hari lepas, Syed Ali menarik perhatian ramai apabila hadir pada sambutan ulang tahun ketiga Amanah di Temerloh, bersama bekas pemimpin Umno Syed Hamid Albar. Kehadiran mereka mencetuskan spekulasi mereka akan menyertai parti gabungan Pakatan Harapan itu.

Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan Syed Ali Al-Habshee hadir pada sambutan ulang tahun ketiga Amanah di Temerloh, dua hari lalu. – Gambar WhatsApp, 24 September, 2018.

Tiga tahun lalu, Umno Bahagian Cheras yang dipimpin oleh Syed Ali menjemput Muhyiddin Yassin, ketika itu timbalan presiden Umno, merasmikan mesyuarat agung tahunan.

Mesyuarat agung itu jadi perhatian apabila Muhyiddin buat pertama kalinya menyentuh isu skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) secara terbuka.

Dalam ucapannya, Muhyiddin antara lain menggesa Najib Razak jangan meremehkan kritikan rakyat berhubung isu 1MDB dan bekas perdana menteri itu mesti menunjukkan kepimpinan dengan menjelaskan isu berhubung duit yang masuk ke akaun peribadinya.

Dua hari selepas ucapannya itu, Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet yang turut menyingkirkan Shafie Apdal, sekarang presiden Parti Warisan Sabah.

Syed Ali ketika itu dilaporkan berkata beliau setuju dengan semua isu yang dibangkitkan oleh Muhyiddin dalam ucapannya yang jadi perhatian itu.

Beliau malah pada masa itu memberi amaran isu 1MDB boleh jadi risiko besar pada Umno dan BN sekiranya tidak ditangani dengan betul.

Najib minggu lalu dihadapkan dengan 25 tuduhan berhubung duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya dipercayai diselewengkan dari 1MDB, dengan 21 daripada tuduhan itu melibatkan soal mengubah wang haram.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini dihadapkan dengan tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Kes yang melibatkan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram itu ditetapkan untuk perbicaraan Februari tahun depan. – 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen