MUSTAPA Mohamed mengesahkan Umno Kelantan disiasat oleh polis berhubung dakwaan badan perhubungan parti negeri itu menerima duit yang ada kaitan dengan syarikat terjerut skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mustapa yang keluar Umno semalam berkata, beliau dan beberapa wakil Badan Perhubungan Umno Kelantan telah dipanggil oleh polis untuk membantu siasatan itu.
“Saya hadir membantu siasatan tersebut atas kapasiti sebagai bekas pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut bila siasatan itu dibuat.
Mustapa juga tidak menyebut apakah siasatan pihak berkuasa itu punca beliau keluar Umno, seperti yang dibayangkan oleh Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa petang tadi.
Beliau hanya menyatakan polis menjalankan siasatan dengan profesional dan cukup tertib.
“Saya menghormati keluhuran undang-undang. Walaupun tidak lagi bersama Umno, saya akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dalam hal ini sekiranya diperlukan,” katanya.
Annuar dalam sidang media di Kuala Lumpur petang tadi berkata beliau fikir beberapa pemimpin Umno yang keluar parti berbuat demikian kerana “tidak tahan disiasat” oleh pihak berkuasa, berhubung dakwaan menerima wang yang besar untuk Umno negeri.
Namun ketika ditanya sama ada siasatan itu menyebabkan Mustapa meletak jawatan, Annuar berkata beliau tidak tahu.
“Mungkin mereka tidak boleh menangani tekanan,” katanya, yang yakin Mustapa tidak keluar parti disebabkan kerjasama Umno dengan PAS.
Semalam juga, Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman yang juga bekas menteri luar dalam kerajaan Barisan Nasional sebelum ini keluar parti, dengan alasan gagal menunaikan janji berkait dengan isu-isu Perjanjian Malaysia 1963 dan hak anak negeri Sabah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi juga menafikan dakwaan pihaknya memanggil Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, untuk diambil keterangan berhubung isu duit 1MDB.

Semalam, Mustapa menjelaskan beliau keluar Umno selepas melihat hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan jiwanya. Beliau juga merasakan Umno tidak boleh kembali pulih selepas terpukul teruk dalam pilihan raya umum ke-14 dengan bergantung semata-mata pada sokongan Melayu dan Bumiputera.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam reaksi segeranya semalam meminta Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab atas kehilangan pemimpin seperti Mustapa, yang beliau kaitkan kerana kerjasama Umno dengan PAS.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak hari ini dihadapkan dengan 25 lagi tuduhan di mahkamah, kali ini melibatkan duit RM2.6 bilion atau AS$681 juta yang masuk ke akaun peribadinya, yang beliau pertahankan selama ini sebagai “derma dari Arab Saudi”.
Antara tuduhan itu termasuk menggunakan duit itu sebagai sumbangan kepada Umno Malaysia sebanyak RM2 juta dan Umno Bahagian Batu Kawan sebanyak RM100,000, masing-masing pada 2 dan 7 Ogos 2013.
Dua tuduhan melibatkan Umno itu adalah antara 21 tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Hari ini, Najib juga dikenakan empat lagi tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, melibatkan penubuhan 1MDB yang ditukar nama daripada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan aktivitinya, semasa beliau jadi perdana menteri dan menteri kewangan.
Najib menafikan semua tuduhan dan berharap kes mahkamah ini akan membersihkan namanya. – 20 September, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan