Keluar parti mungkin sebab tak tahan disiasat, kata Annuar Musa


Chan Kok Leong

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendakwa bekas ketua Umno Kelantan, Mustapa Mohamed dan dua lagi disiasat pihak berkuasa berhubung penerimaan wang dalam jumlah besar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2018

KALANGAN pemimpin Umno yang keluar parti mungkin berbuat demikian kerana tidak tahan disiasat pihak berkuasa, dakwa setiausaha agung parti, Annuar Musa.

Dalam satu sidang media petang ini, Annuar mendakwa bekas ketua Umno Kelantan, Mustapa Mohamed dan dua lagi disiasat pihak berkuasa berhubung penerimaan wang berjumlah besar untuk Umno negeri itu.

Namun ketika ditanya sama ada siasatan itu menyebabkan Mustapa meletak jawatan, Annuar berkata beliau tidak tahu.

“Mungkin mereka tidak boleh menangani tekanan,” kata Annuar lagi dalam sidang media di ibu pejabat parti petang ini.

Bagaimanapun, beliau yakin Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli tidak keluar parti disebabkan kerjasama Umno dengan PAS.

“Saya tahu Tok Pa (Mustapa) tidak keluar parti sebab Umno bekerjasama dengan PAS. Isunya bukan itu,” kata Annuar lagi.

Parti itu menerima tamparan hebat apabila Mustapa mengumumkan keluar parti pada Selasa dan seorang lagi pemimpin kanan Anifah Aman mengambil tindakan sama semalam.

Mustapa mengumumkan beliau bertindak demikian kerana tidak percaya dengan langkah pemulihan parti, susulan tindakan parti bekerjasama dengan PAS.

Anifah yang ahli Parlimen Kimanis mengumumkan keluar Umno kerana kerajaan pimpinan parti itu tidak mengotakan janji untuk mengiktiraf tuntutan Sabah.– 20 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen