Najib hadapi 25 tuduhan bersabit 1MDB dan ‘derma Arab’


Bede Hong

Selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib Razak juga berdepan empat pertuduhan melibatkan penubuhan dan aktiviti 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2018.

NAJIB Razak dihadapkan 25 lagi tuduhan melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad, dengan 21 daripadanya membabitkan pengubahan wang haram berhubung duit RM2.6 bilion atau AS$681 juta yang masuk ke akaun peribadinya pada Mac 2013.

Dua puluh satu pertuduhan itu terbahagi kepada tiga jenis kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sembilan tuduhan melibatkan penerimaan wang haram, tujuh tuduhan mengenai pemindahan wang haram kepada pihak lain dan lima tuduhan tentang menggunakan wang haram.

Setiap pertuduhan bagi 21 kes di bawah Amla, jika sabit kesalahan, masing-masing membawa hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Najib juga dikenakan empat lagi tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kali ini melibatkan penubuhan dan aktiviti 1MDB.

Semua pertuduhan itu selesai dibacakan dalam masa 35 minit.

Bekas perdana menteri itu menjawab beliau faham semua pertuduhan itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua 25 pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh pendaftar mahkamah.

Penolong pendakwa raya Ahmad Akram Gharib kemudian meminta mahkamah menetapkan semua 25 kes ini dibicarakan bersama kerana “ada persamaan tujuan” dalam semua transaksi melibatkan akaun bank yang juga sama.

Permintaan pasukan pendakwaan itu tidak dibantah oleh pasukan peguam bela Najib yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Pendakwaan dijalankan oleh Gopal Sri Ram di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Bagi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM, Najib didakwa “menggunakan jawatan atau kedudukannya” sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dalam penubuhan 1MDB, syarikat yang ditukar daripada Lembaga Pelaburan Terengganu. Beliau juga didakwa berhubung peranannya dalam pembelian saham Petro Saudi sebanyak AS$1 bilion.

Pasukan pembelaan Najib Razak diketuai peguam Shafee Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2018.

Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Najib sebelum ini dihadapkan dengan tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta yang didakwa diselewengkan daripada dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram. Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan Februari tahun depan.

Tujuh pertuduhan itu melibatkan tiga mengikut Kanun Keseksaan, tiga di bawah AMLA dan 1 di bawah Akta SPRM.

Duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib mula terbongkar apabila Wall Street Journal mendedahkan pada 2 Julai 2016 bukti-bukti aliran wang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib pada masa itu menafikan dakwaan wang masuk ke akaun peribadinya di AmBank Islamic, malah mendakwa akaun bank itu tidak wujud. Beliau juga berkata akan saman WSJ kerana mencemar nama baiknya.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun kemudian mengaku duit sebanyak itu masuk ke akaun peribadinya tetapi duit itu didakwa sebagai “derma daripada kerajaan Arab Saudi”, naratif yang beliau pertahankan sehingga minggu lepas.

Ahmad Zahid Hamidi, timbalan Najib pada masa itu, yang sekarang presiden Umno juga mendakwa beliau sudah berjumpa dengan pihak yang dikatakan memberi derma itu. Najib kemudiannya mendakwa sebahagian “duit derma” itu sudah dipulangkan balik kepada pendermanya.

Minggu lepas, Najib berkata beliau mahu mendedahkan melalui penjelasan di Facebook atau wawancara dengan media mengenai bukti duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya itu derma dari Arab Saudi. – 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen