Najib berdepan 21 tuduhan kes wang haram RM2.6 bilion


Najib Razak akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) AMLTFA. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2018.

NAJIB Razak akan berdepan 21 pertuduhan membabitkan duit RM2.6 bilion atau AS$681 juta yang masuk ke akaun peribadinya, apabila bekas perdana menteri itu dihadapkan ke mahkamah petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim berkata sembilan dakwaan kerana menerima wang haram, lima kerana menggunakan wang haram dan tujuh kerana memindahkan wang haram.

Polis awal hari ini menahan Najib di perkarangan Pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dua puluh satu pertuduhan itu difahamkan tambahan kepada beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang dimaklumkan oleh agensi anti rasuah itu, semalam.

Polis menahan Najib, mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA), selepas mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara, kata Noor Rashid.

“Beliau akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) AMLTFA,” katanya dalam satu kenyataan media.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan Najib setelah bekas perdana menteri itu datang memberikan keterangan di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Petang semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan Najib setelah bekas perdana menteri itu datang memberikan keterangan di ibu pejabatnya di Putrajaya, berhubung duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaunnya.

Najib Razak dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk diambil keterangan sebelum di bawa ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta pada jam 3 petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2018.

Najib pagi ini dibawa dari lokap SPRM di Putrajaya ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Menara 238, Jalan Tun Razak kira-kira pukul 8.55 pagi untuk dirakam percakapannya mengikut AMLATFA 2011.

SPRM dalam satu kenyataan semalam berkata Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Najib kini berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah berhubung dana RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan Februari tahun depan.

Kelmarin, media juga melaporkan isteri Najib, Rosmah Mansor dijangka berdepan 20 tuduhan di mahkamah, kebanyakannya berhubung kesalahan mengubah wang haram, apabila pasukan penyiasat melengkapkan siasatan dalam waktu yang terdekat.

Duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib mula terbongkar apabila Wall Street Journal mendedahkan pada 2 Julai 2016 bukti-bukti aliran wang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib pada masa itu menafikan dakwaan wang masuk ke akaun peribadinya di AmBank Islamic, malah mendakwa akaun bank itu tidak wujud. Beliau juga berkata akan saman WSJ kerana mencemar nama baiknya.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun kemudian mengaku duit sebanyak itu masuk ke akaun peribadinya tetapi duit itu didakwa sebagai “derma daripada kerajaan Arab Saudi”, naratif yang beliau pertahankan sehingga minggu lepas.

Ahmad Zahid Hamidi, timbalan Najib pada masa itu, yang sekarang presiden Umno, juga mendakwa beliau sudah berjumpa dengan pihak yang dikatakan memberi derma itu. Najib kemudiannya mendakwa sebahagian “duit derma” itu sudah dipulangkan balik kepada pendermanya.

Minggu lepas, Najib berkata beliau mahu mendedahkan melalui penjelasan di Facebook atau wawancara dengan media mengenai bukti duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya itu derma dari Arab Saudi. – 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen