Najib mahu dedah bukti derma RM2.6 bilion


NAJIB Razak mahu mendedahkan tidak lama lagi bukti duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya, yang didakwa derma putera raja dari Arab Saudi, yang menjadi titik kritikan terhadap pentadbirannya sebelum Barisan Nasional kalah pilihan raya umum ke-14 lalu.

Kata Najib, beliau akan membuat pendedahan itu – bersama dengan bukti pemberian duit yang lain yang diterimanya sejak 2011, juga daripada Arab Saudi, melalui penjelasan di Facebook atau wawancara dengan media.

Duit RM2.6 bilion atau US$681 juta itu masuk ke akaun bekas perdana menteri itu pada 2013.

Najib membuat pengumuman itu serentak dengan pendedahan bukti sumbangan almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz as-Saud pada 2011 “untuk membantu” Umno bertahan, sekiranya berlaku kebangkitan rakyat ala Arab Spring di Malaysia.

“Pada status (Facebook) akan datang atau melalui temuramah dengan media di mana saya dapat menjelaskan dengan lebih terperinci sambil menunjukkan bukti, saya juga akan menjelaskan mengenai sumbangan yang saya terima bagi tahun-tahun selepas 2011 - termasuk isu RM2.6 bilion,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan di platform media sosial itu, malam ini.

Raja Abdullah meninggal dunia pada 2015.

“Memandangkan saya bukan lagi Perdana Menteri dan Raja Abdullah telah mangkat (Al-Fatihah), saya rasa adalah bersesuaian untuk saya dedahkan dokumen berikut bagi membersihkan nama saya dari pelbagai tuduhan dan fitnah,” kata Najib.

Menurut Najib, sumbangan Raja Abdullah itu tidak dihebohkan sebelum ini kerana baginda meminta agar ia tidak diwarwarkan, sama seperti hadiah kain kelambu Kaabah dan tambahan kuota haji khas sebanyak 20,000 jemaah.

“Saya bersama peguam mengambil masa yang agak lama untuk memperolehi dokumen ini daripada bank namun kami berjaya mendapatkan sebahagian besar darinya. Dokumen berikut adalah bagi sumbangan tahun 2011 sahaja. Pihak berkuasa dan bank ada dokumen yang sama,” kata Najib.

Menurut Najib, Putera Abdulaziz as-Saud menulis kepadanya pada 1 Februari 2011 memberitahu bahawa Arab Saudi akan menyediakan AS$100 juta atau RM415 juta kepadanya bagi tahun itu.

Bayaran itu dipindahkan melalui dua akaun: pertama, sebanyak AS$20 juta dari akaun Putera Faisal Turki as-Saud dan baki AS$80 juta dari akaun Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“Sebahagian besar dana yang saya terima digunakan bagi tujuan politik BN,” kata Najib, yang juga bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.

Antara tujuan politik itu antaranya termasuk dana kepada Umno Johor untuk membeli van, yang baru-baru ini disita oleh pihak berkuasa untuk siasatan berhubung duit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Najib, bukti surat dari Arab Saudi itu ada dilampirkan bersama dana yang dipindah masuk ke akaunnya di Ambank, dan selama itu pihak bank berkenaan atau Bank Negara Malaysia “tidak pernah mempersoalkan atau menyatakan kebimbangan terhadap sumbangan ini.”

Najib kini berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah berhubung dana RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan Februari tahun depan. – 10 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen