Menghirup udara kekuasaan dan mabuk di dalamnya


ZF Zamir

SAYA di dalam kereta dengan Dr Maszlee Malik semasa bergerak dari Putrajaya ke Restoran Amjal di Kuala Lumpur, sampailah balik semula ke Putrajaya, malam kelmarin.

Saya juga bersama Maszlee di Sarawak sejak dua hari sebelum mahasiswa mengadakan protes duduk bantah di depan pejabat Kementerian Pendidikan pada Jumaat lalu, sampailah kami pulang semula ke Kuala Lumpur keesokan harinya.

Dalam kereta ketika perjalanan pulang kelmarin seorang teman bertanya perihal keadaan Maszlee, apakah beliau marah atau kecewa dengan mahasiswa di Amjal. Saya tegaskan sepanjang perjalanan pulang dari Amjal ke Putrajaya, tak ada sedikitpun perasaan kesal dari Maszlee.

Kami berbual seperti biasa dan beliau sentiasa tersenyum. Saya dapat rasakan beliau puas melihat anak didiknya dan ekosistem universiti hari ini dalam arena yang sangat terbuka.

Jadi saya boleh sahkan walaupun dalam keadaan seperti kelmarin, Maszlee masih lagi boleh menjawab: “Bagus. Saya seronok. Paling tidak mereka belajar.”

Dan pantas saya menjawab: “Ya, inilah Malaysia yang kita mahukan pun,” sambil ditingkahi gelak ketawa kami berdua.

Malaysia Baharu

Malaysia Baharu hari ini bukan sahaja mengenai anak muda yang tidak lagi takut untuk menyuarakan pendapat, tetapi ia juga adalah  mengenai Menteri yang tidak lagi takut kepada demonstrasi dan debat.

Cuma kadang-kadang ketika menghirup oksigen kebebasan ini, kita tidak boleh mabuk dalam emosi. Malaysia Baharu yang kita laung-laungkan ini bukan datang sekelip mata selepas 9 Mei 2018.

Malaysia Baharu yang kita punyai hari ini sebenarnya masih dalam fasa transisi. Dan ini sangat penting untuk difahami. Apakah yang kita mahukan sebenarnya dengan Malaysia Baharu itu? Apakah sebenarnya definisi Malaysia Baharu? Perubahan yang kita sebut-sebut itu, perubahan bentuk atau perubahan isi dan mentaliti?

Fasa transisi

Oleh kerana kita semua masih dalam fasa transisi, kita harus miliki keupayaan untuk bersetuju bahawa semua perubahan yang kita mahu lakukan ini tidak boleh dilaksanakan dengan begitu sempurna. 

Kesempurnaan memerlukan masa kerana jika kita bercakap perihal perubahan isi dan mentaliti, adalah mustahil kesempurnaan diukir dalam masa 3 dan 4 bulan sahaja.

Malah kita juga harus bersetuju bahawa universiti yang kita miliki hari ini berada dalam krisis yang sangat menakutkan. Ini termasuk krisis ilmu, krisis kepimpinan, krisis idea serta krisis adab, dan kita belum lagi bercakap perihal korupsi pemikiran dan tingkah laku dalam institusi pengajian tinggi.

Naib canselor dan timbalan naib canselor institusi pengajian tinggi kita tanpa segan silu menari di atas pentas memakai baju Bollywood dan meninggalkan ilmu di pintu pagar sahaja. 

Semua ini memerlukan ruang perdebatan untuk diperhalusi. Ia jauh lebih penting untuk dibahaskan oleh anak muda berbanding isu adab mahasiswa semalam ketika bertemu Dr Maszlee.

Realiti dan idealisme

Ketika kita semua berdepan krisis ini, kita juga harus membuat keputusan antara realiti dan idealisme tentang perubahan-perubahan yang boleh dilaksanakan hari ini serta kerangka yang lebih besar untuk memastikan perubahan tersebut sebenarnya adalah strategi jangka masa panjang – kerana akhirnya kita semua berhutang kepada negara yang tercinta ini sebuah penyelesaian. 

Saya percaya gerak kerja untuk meruntuhkan semua pembodohan yang selama ini dilaksanakan oleh universiti serta membina semula budaya ilmu dan menyelesaikan masalah masyarakat ini adalah tanggungjawab semua.

Kita semua harus bergotong royong dengan tangan kita sendiri dan menyelidik mengapa perubahan yang sepatutnya 40 tahun lalu kita selesaikan tidak pernah berjaya kita usaikan. Kerana akhirnya inilah tugas para aktivis. Kerana jika kita hanya berteriak-teriak mengenai perubahan tanpa membentangkan penyelesaian, kita harus mengakui bahawa kita juga adalah sebahagian daripada masalah. 

Dan seperti yang saya bualkan dengan teman rapat tengah hari semalam, tak salah sebenarnya untuk kita berundur satu langkah hari ini untuk maju dua langkah pada hari esok.

Saya menerima kritikan teman-teman terutamanya kepada menteri pendidikan dan kementerian, serta mengucapkan terima kasih kerana tidak teragak-agak untuk mengkritik menteri. Itulah yang kami perlukan.

Membuat pilihan

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada teman-teman yang hari ini menggelarkan kami seperti dirasuk kekuasaan sehingga sanggup menjual prinsip hidup untuk sedap makan gaji. Sayapernah makan gaji sebelum ini dan saya hampir pasti saya boleh berhenti dari makan gaji lagi bila-bila masa sahaja.

Tetapi kali ini saya menyertai semula kerajaan kerana saya percaya saya harus membuat perubahan dan masuk sendiri ke dalam epicentre sistem tersebut. Jika saya kalah dan gagal sekalipun, paling tidak saya telah mencuba – kerana pada akhirnya, dalam hidup kita harus membuat pilihan.

Rakyat Malaysia telah memilih perubahan pada 9 Mei yang lalu. Perubahan ini tidak mampu dilaksanakan oleh kerajaan bersendirian. Kita harus memilih antara menyokong atau meruntuhkan.

Penunggang mahasiswa

Jadi untuk mahasiswa, demonstrasi, chanting, duduk bantah serta semua kempen di media sosial, hanyalah gerak kerja. Apakah misi besar mahasiswa selain semua jerit pekik ini? Dahulu kita harus akui demonstrasi adalah pilihan terakhir kerana pemimpin zaman dahulu zalim dan tidak mahu mendengar.

Tetapi ketika pemimpin yang ada hari ini datang dan melutut di hadapan, apakah mahasiswa masih berfikir menggunakan logik ‘melawan kekuasaan’ seperti zaman Umno-BN dahulu?

Dan soalan yang paling menuntut jawapan adalah – siapakah mahasiswa hari ini? Di manakah ratusan ribu mahasiswa ketika empat orang atau 20 orang mahasiswa menjerit kepada menteri kelmarin?

Serta di manakah mahasiswa ketika profesor kangkung masih berleluasa hari ini dan membenarkan projek pembodohan yang masih berjalan di kampus-kampus? Apakah isu mahasiswa hanya berkitar di sekeliling presiden UIAM?

Atau adakah mahasiswa masih relevan di zaman Malaysia Baharu ini?

Sudut pandang yang lebih luas

Akhirnya kita tidak boleh nafikan pada zaman Malaysia Baharu ini, kerja menjerit, kerja propaganda dan kerja menghasut adalah kerja yang boleh ditangguhkan seketika. Ini kerana tugas memperbaiki dan membina semula negara ini harus ditanggung bersama-sama.

Kita semua punya tanggungjawab yang lebih besar dari kerja protes dan duduk bantah. Kerajaan sudah berubah, menteri tidak lagi seperti dahulu malangnya mentaliti masyarakat tidak berubah banyak seperti yang kita harapkan.

Jadi, kerja kita semua berat. Semua ini tidak boleh ditanggung dengan hanya menuding jari.

Kerana kita semua terhutang budi dengan tanah air ini. Kerana kerja-kerja membina semula budi dan daya akal murni ini bukan kerja menteri dan pegawai di sekelilingnya sahaja. Kerana kata Albert Camus: “Kemurahan hati yang sebenar terhadap masa depan terletak pada apa yang kita sanggup berikan pada hari ini.” – 14 September, 2018.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen