SPRM sedia hantar pegawai ke Perancis untuk semak status kes Scorpene


Muzliza Mustafa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar penyiasatnya ke Perancis untuk menyemak status siasatan urus niaga penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002 sekiranya terbukti Abdul Razak Baginda, bekas penasihat kepada Perdana Menteri Najib Razak sudah didakwa kerana rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Dzulkifli Ahmad.

“Saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk mendapatkan status sebenar kes ini; sama ada tahap soal siasat atau pertuduhan,” kata Dzulkifli dalam sebuah rancangan yang disiarkan di TV3, malam tadi.

“Kita perlu faham perbezaan (dalam sistem perundangan). Di sini, kita guna ‘common law’, di Perancis mereka guna undang-undang sivil. Dalam kes ini, ia berdasarkan sebuah laporan.”

Dzulkifli berkata sekiranya Razak sudah didakwa, dia akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah sebelum dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

“Tetapi saya baca yang Razak menafikan dia didakwa. Jadi saya buat keputusan yang SPRM perlu mengesahkan maklumat ini. Saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk berhubung dengan kedutaan Perancis di sini bagi mendapatkan maklumat yang tepat (atau tindakan yang diambil pihak berkuasa Perancis),” katanya.

Dia menambah yang SPRM bersedia untuk menghantar sebuah pasukan ke Perancis sekiranya benar Razak sudah didakwa.

“Saya akan hantar orang saya ke sana untuk memeriksa status (siasatan) dan situasi sebenar kes itu sekiranya benar (Razak didakwa),” katanya.

Razak didakwa di Perancis pada 18 Julai dengan tuduhan “bersubahat dalam korupsi” dan “salah tadbir aset korporat”, menurut sumber perundangan Perancis seperti dilaporkan AFP.

Empat eksekutif industri pertahanan Perancis juga berdepan dengan dakwaan sama sejak siasatan ke atas penjualan kapal selam itu dilakukan susulan aduan daripada kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Malaysia, Suaram.

Mereka ialah bekas pengerusi DCNI, Philippe Japiot dan Dominique Castellan, dan dua bekas ketua Thint Asia, Bernard Baiocco dan Jean-Paul Perrier.

Kesemua menafikan dakwaan itu.

Razak ialah pembantu kepada Najib ketika perdana menteri itu menjadi menteri pertahanan antara 2000 hingga 2008.

AFP melaporkan yang Najib mengendalikan urus niaga itu, bernilai hampir €1 bilion (RM5 bilion), untuk membeli dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah kapal selam kelas Agosta pada 2002 daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN yang mempunyai hubungan dengan syarikat pertahanan Perancis, Thales.

DCN bersetuju untuk membayar €30 juta kepada unit Thales di Asia, Thales International Asia (Thint Asia) yang merupakan sebahagian persetujuan dalam perjanjian itu.

Siasatan juga mendedahkan sebuah lagi syarikat, Terasasi yang mana Razak merupakan pemegang saham utama menerima jumlah yang sama yang dibilkan sebagai upah rundingan, tetapi penyiasat percaya tindakan itu adalah untuk menyembunyikan rasuah yang berlaku dalam perjanjian itu.

Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan perdana menteri berkata Kabinet tidak membincangkan pembelian Scorpene, menambah yang sekiranya dibincangkan dia akan membantah kerana Malaysia tidak mempunyai wang untuk pembelian sebegitu.

Menurutnya, kapal selam itu terlalu mahal dan tidak dibina untuk beroperasi di laut cetek terutama sekali di Selat Melaka, katanya kepada The Malaysian Insight.

Tentera Laut Diraja Malaysia membeli dua kapal selam – KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak – pada 2009. Kedua-dua kapal itu masih aktif beroperasi. – 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen