Saya tak pernah didakwa di mahkamah Perancis, kata Razak Baginda


Abdul Razak Baginda menjadi penasihat Najib Razak antara 2000 dan 2008, menafikan melakukan sebarang kesalahan jenayah rasuah atau melanggar mana-mana undang-undang berhubung urus niaga kapal selam Scorpene. – Gambar fail EPA, 2 Ogos, 2017.

ABDUL Razak Baginda bertegas mempertahankan yang beliau tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah rasuah atau melanggar mana-mana undang-undang berhubung urus niaga kapal selam Scorpene.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, Razak berkata beliau tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah di Perancis.

“Laporan berita Perancis menyatakan individu yang terlibat dalam pembelian kapal selam didakwa. Laporan ini mengelirukan,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan yang Razak didakwa di Perancis atas tuduhan terbabit rasuah pada 2002 semasa urus niaga penjualan kapal selam kepada Malaysia.

Beliau menjadi penasihat Perdana Menteri Najib Razak yang ketika itu memegang jawatan sebagai menteri pertahanan antara 2000 hingga 2008 berhubung urus niaga itu.

Dalam tempoh tersebut, Najib menyelia perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam jenis Agosta bernilai €1 billion (RM5 bilion) daripada unit limbungan kapal DCN Perancis, yang dikaitkan dengan Kumpulan Thales, sebuah syarikat teknologi pertahanan di negara itu.

Siasatan ke atas urus niaga itu itu dilancarkan pada 2010 susulan aduan kumpulan hak asasi Suaram Malaysia.

Razak berkata istilah “didakwa” dalam konteks siasatan bermakna meletakkan individu tersebut di bawah “penyiasatan rasmi”.

“Proses perundangan Perancis berbeza dengan proses perundangan Malaysia. Dalam proses perundangan Malaysia seseorang yang disyaki melakukan jenayah disiasat dan jika terdapat bukti mencukupi, individu itu didakwa di mahkamah.”

“Perlu ditekankan yang ia adalah siasatan berterusan dan tiada tuduhan formal di mahkamah dibawa terhadap mana-mana individu,” katanya.

Razak berkata beliau mengalu-alukan sebarang pertanyaan daripada pihak berkuasa Perancis kerana beliau tidak melakukan kesalahan jenayah atau melanggar mana-mana undang-undang.

“Menurut mana-mana prosiding jenayah, seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah dan ia perlulah berdasarkan bukti dan bukannya khabar angin atau cerita.

“Adalah sangat dikesalkan yang laporan berita itu mengelirukan dan fakta sebenar mengenai perkara itu tidak dilaporkan,” katanya.

Pasukan penyiasat di Perancis juga sedang meneliti dakwaan kononnya €114 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada urus niaga tersebut.
Syarikat tersebut pada masa itu dikawal isteri Razak.

Bagaimanapun, pembayaran komisyen itu tidak tertakluk kepada bidang kuasa siasatan mahkamah di Perancis kerana tidak melibatkan syarikat republik tersebut.

Skandal pembelian kapal selam ini timbul pada 2006 selepas seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikatakan menuntut bayaran upah sebagai penterjemah dalam urus niaga tersebut mati dibunuh di Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Oktober 2008 membebaskan Razak tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya selepas perbicaraan kes selama 151 hari dan mencetuskan dakwaan serta bantahan pembangkang mengenai usaha melindungi perkara itu. – 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen