Saya tidak boleh buat keputusan lagi, sindir speaker


Diyana Ibrahim

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata beliau tidak mahu diheret ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2017.

SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menyindir ahli Parlimen pembangkang yang mahu menyamannya kerana bertindak menolak soalan berkaitan dengan syarikat 1Malaysia Development (1MDB).

Beliau berkata tidak lagi mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara dalam sidang Dewan Rakyat kerana jika berbuat demikian ia akan menyebabkan dirinya diheret ke mahkamah. 

Sindiran itu diluahkan Pandikar apabila beliau menegur pertelingkahan antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Hamzah Zainuddin dan ahli Parlimen Pembangkang ketika pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan.

“Jangan buat begitu, tadi sebelum masuk saya cakap secara sinis saya tidak boleh buat keputusan kerana (bila saya buat begitu) akan diheret ke mahkamah.

“Jadi tidak perlu saya buat keputusan sama ada ia ‘sub judice’ atau tak, saya sudah tidak  boleh buat keputusan. Semua Yang Berhormat ini uar-uarkan Parlimen kita ini standardnya ‘world class’,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian yang memfailkan saman di mahkamah hari ini.

Hee berkata, tindakannya itu kerana mahu mahkamah memanggil speaker untuk menjawab semua soalan yang diajukan mengenai 1MDB.

Terdahulu, semasa menyambung sidang Dewan Rakyat selepas rehat tengah hari beliau turut mengulas perkara sama dengan menyatakan tindakan menyamannya menunjukkan peruntukan Fasal 63(1) Perlembagaan Persekutuan tidak lagi bermakna. – 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen