Ahli Parlimen PKR fail saman terhadap Pandikar kerana tolak soalan 1MDB


Noel Achariam

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian (tengah) dan peguam N. Surendran (kedua dari kanan) semasa memberi kenyataan kepada media di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Ogos, 2017.

AHLI Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian memfailkan saman di mahkamah hari ini terhadap speaker Dewan Rakyat kerana menolak soalannya berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Parlimen secara salah.

Hee berkata, ia susulan tindakan Speaker Pandikar Amin Mulia menolak dua soalan yang dibangkitkannya mengenai 1MDB.

“Soalan yang saya ajukan adalah jika kerajaan secara rasmi menafikan saman yang dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengenai penyalahgunaan dana daripada 1MDB.

“Soalan kedua ditujukan kepada menteri dalam negeri mengenai bila kali terakhir Low Taek Jho (Jho Lo) berada di Malaysia dan sama ada beliau mempunyai dua kewarganegaraan.

“Tetapi, semua soalan ditolak. Kami mempunyai hak untuk bertanya dan speaker perlu menjawabnya,” kata beliau selepas memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hee berkata mahu mahkamah memanggil speaker untuk menjawab semua soalan yang diajukan mengenai 1MDB oleh ahli Parlimen.

Peguam dan Ahli Parlimen PKR N. Surendran berkata tindakan speaker menolak soalan itu menghalang Hee daripada menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.

“Untuk memastikan haknya ditegakkan, beliau mengambil tindakan saman terhadap speaker.

“Tindakan saman pemula Hee ini mempersoalkan adakah tindakan speaker menolak soalan itu mengikut Perlembagaan.

“Speaker tidak boleh bertindak sesuka hati dan beliau terikat dengan Perlembagaan. Apabila beliau menolak soalan, ia melanggar Perlembagaan,” katanya

Surendran berkata walaupun speaker mempunyai kuasa di dalam Dewan, beliau masih perlu mematuhi Perlembagaan.

“Plaintif dalam kes ini adalah Hee manakala defendan adalah speaker dan setiausaha Dewan Rakyat,” katanya.

Usaha pembangkang untuk mendapatkan lebih banyak jawapan daripada kerajaan mengenai isu yang melingkari 1MDB di Dewan Rakyat dipatahkan apabila Pandikar enggan menerima lebih daripada 30 soalan mengenai topik itu.

Pandikar mempertahankan tindakannya menolak soalan mengenai 1MDB daripada ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat atas alasan subjudis.

Beliau berkata bimbang sekiranya soalan itu boleh menjadi subjudis kerana saman sivil yang difailkan DoJ sedang berlangsung. – 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen