Protes politik jangan sampai kacau kami cari makan, kata busker


SM Amin

Busker di sekitar Sogo merupakan tarikan kawasan tersebut, dan kekecohan semalam pada perhimpunan diketuai Lokman Adam yang menyalahkan buskers kawasan tersebut sangat dikesali persatuan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

PRESIDEN Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) Wady Hamdan kesal dengan tindakan penganjur tunjuk perasaan di depan Sogo malam tadi yang menuduh pemuzik jalanan atau busker punca berlaku kekecohan mereka dengan polis.

Wady berkata persoalan sama ada busker menguatkan suara sistem pembesar suara semasa bermain muzik tidak timbul kerana mereka mempunyai permit untuk mencari rezeki di kawasan tersebut.

“Kena faham, bukan sekadar busker tapi melibatkan peniaga dan orang awam. Bila sekumpulan datang berhimpun beragendakan politik, ianya mengganggu rakyat untuk cari makan. 

“Yang protes itu anda yang kurang bijak. Rakyat sedang cari makan. Anda hadir untuk diberi keutamaan. 

“Mana lebih penting? Perjuangan politik dan kuasa wang anda atau keutamaan rakyat mencari rezeki?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tunjuk perasaan malam tadi diadakan Pemantau Malaysia Baru diketuai Lokman Noor Adam bagi membantah keputusan peguam negara pada Isnin lalu menarik balik pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Perhimpunan itu bagaimanapun bertukar kecoh apabila polis cuba menghentikan pesertanya daripada berarak ke Balai Polis Dang Wangi dan merampas mikrofon yang digunakan penganjur untuk berucap.

Wady juga menasihat mana-mana pihak baik pembangkang mahupun kerajaan supaya menghentikan budaya berdemonstrasi kerana ia tidak akan mempengaruhi pemikiran rakyat.

Jelasnya, ada banyak lagi perkara yang mampu mereka lakukan untuk memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa perlu turun berhimpun di jalanan sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Busker kawasan Sogo mempunyai permit untuk membuat persembahan berbanding penganjur perhimpunan malam tadi yang tak sensitif kepada pekerjaan rakyat, kata Kelab Penghibur Jalanan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

“Jangan fikir, cara demo sebegini yang dibuat bekas pembangkang (kini kerajaan) akan berhasil untuk mempengaruhi rakyat pada masa hadapan. 

“Anda (Umno) sememangnya dari dulu tak pernah mengambil hati terutamanya anak muda, dan kini menjadi pembangkang, terus tidak mampu mengambil hati dengan tindakan tidak bijak sebegini. 

“Sekalipun penjual belon di situ, perjuangan politik anda adalah tidak penting,” ujarnya.

Polis membuka kertas siasatan terhadap penganjur Himpunan Pengebumian Institusi Peguam Negara kerana mengadakan perarakan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis juga mengesahkan akan memanggil Lokman untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Lokman memberitahu beliau akan memberi keterangan kepada polis pada Isnin ini, dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap polis kerana mengasari beliau dna mencabul haknya berhimpun. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen