PERHIMPUNAN Pengkebumian Institusi Peguam Negara anjuran Pemantau Malaysia Baru (Pemantau) adalah perhimpunan haram dan polis akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Shaharudin Abdullah.
Menurut Shaharudin, Pengerusi Pemantau Lokman Noor Adam tidak membuat sebarang permohonan atau memberi notis kepada pihak polis untuk mengadakan himpunan di hadapan Sogo.
Malah kata Shaharudin, kelonggaran yang beliau berikan dengan tidak melarang mereka berhimpun telah disalah guna oleh penganjur yang bertindak berarak ke Balai Polis Dang Wangi.
“Sebelum itu ada pegawai saya sudah berbincang dan saya benarkan kalau dia hendak berucap sebagainya dalam tempoh sejam bermula jam 9 malam.
“Tetapi dia menghasut hendak berarak ke balai… itu saya tidak boleh terima. Itu nanti nampak kelemahan saya.
“Lokman langgar syarat-syarat yang telah dibincang. Saya tidak benarkan beliau berarak, itu sahaja. Dia hendak berucap sampai pagi esok pun saya bagi. Tapi dia berarak, itu dia sudah cabar sayalah.
“Mesej yang dia hendak sampaikan, tidak berpuas hati dengan kerajaan pemerintah tetapi ada caranya. Gunakan saluran tertentu,” katanya kepada media.

Menurut Shaharudin, selepas siasatan polis itu nanti, terpulang kepada pihak pendakwa raya untuk langkah susulan.
Mengulas dakwaan Lokman bahawa pihak polis telah bertindak kasar termasuk merosakkan mikrofon penganjur, Shaharudin berkata Lokman boleh membuat laporan polis sekiranya tidak berpuas hati dan untuk mencari kebenaran.
Perhimpunan itu bagaimanapun bertukar kecoh apabila polis cuba menghentikan pesertanya daripada berarak ke Balai Polis Dang Wangi dan merampas mikrofon penganjur.
“Lu siapa nak halang rakyat Malaysia daripada buat laporan polis. Sejak bila rakyat Malaysia tidak boleh buat laporan polis?,” pekik Lokman kepada polis.
Tegas Shaharudin, tindakan polis itu adalah hak polis dan sekiranya Lokman merasakan haknya terjejas beliau boleh membuat laporan polis.
“Saya hanya melaksanakan undang-undang, dia tidak memohon apa-apa, tiada memberi apa-apa notis, bagi saya ini perhimpunan haram.
“Kalau ikutkan saya boleh rampas semua itu termasuk sepanduk. Apa dakwaan teruskanlah, kalau ada laporan kita siasat. Kalau ikutkan saya tidak benarkan dia bercakap menggunakan pembesar suara,” kata Shaharudin.
Tambah Shaharudin, bukan tugas beliau untuk menghentikan kumpulan busker berhampiran bermain musik kerana mereka mempunyai permit yang sah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Bukan hak saya untuk hentikan kumpulan busker, dia mohonlah kepada DBKL. Busker itu ada permit daripada DBKL. Itu nafkah dia cari makan di sini.
“Apa hak Lokman untuk arahkan busker itu berhenti kerana dia pun tidak memohon apa-apa permit. Tempat ini tidak sesuai untuk berhimpun,” tegasnya. – 7 September, 2018.
Komen