AHLI Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berdepan tindakan undang-undang susulan kekecohan di luar pusat membeli belah Sogo di Kuala Lumpur malam tadi.
Ini kerana pergelutan yang tercetus antara Lokman dan penyokongnya dengan anggota polis yang cuba menghentikan perhimpunan haram itu daripada berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Aksi tolak-menolak antara penyokong Lokman dan anggota polis berlanjutan selama beberapa minit dan rakaman video turut menunjukkan pertikaman lidah antara Lokman dan ketua IPD Dang Wanig Asisten Komisioner Shahrudin Abdullah.
Tiada tangkapan dibuat susulan insiden malam tadi tetapi Shahrudin memberitahu The Malaysian Insight hari ini bahawa Lokman yang juga pengerusi Pemantau Malaysia Baru, akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Ya kita akan memanggil beliau (Lokman) tidak lama lagi. Pegawai penyiasat saya akan menguruskan hal tersebut,” katanya.
Perhimpunan itu diadakan bagi membantah keputusan Jabatan Peguam Negara menggugurkan dakwaan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kumpulan itu turut menggesa peletakan jawatan Peguam Negara Tommy Thomas.

Pada awalnya mereka berkumpul di luar Sogo di mana Lokman berucap dan mula mengatur perarakan menuju ke IPD Dang Wangi sebelum pihak polis mula bertindak.
“Lu siapa nak halang rakyat Malaysia daripada buat laporan polis. Sejak bila rakyat Malaysia tidak boleh buat laporan polis?,” pekik Lokman kepada polis.
Shaharudin berkata, Lokman tidak membuat sebarang permohonan atau memberi notis kepada polis untuk mengadakan himpunan di hadapan Sogo.
“Perkara ini akan disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
Sebelum kekecohan tercetus, Lokman mendakwa busker yang berada berdekatan sengaja menguatkan pembesar suara sebagai tindakan sabotaj perhimpunan mereka.
Beliau kemudiannya meminta pihak polis untuk bertindak ke atas kumpulan busker tersebut tetapi anggota keselamatan enggan berbuat demikian.
The Malaysian Insight kini menunggu maklum balas daripada beliau. – 8 September, 2018.
Komen