KUMPULAN pemuzik jalanan atau busker JK Lineup kecewa apabila dituduh sengaja mensabotaj perhimpunan anjuran Pemantau Malaysia Baru kononnya dengan menaikkan bunyi sistem pembesar suara mereka sehingga membawa kepada kekecohan antara polis dan peserta perhimpunan.
Mereka sebaliknya mendakwa tunjuk perasaan malam tadi itu yang merosakkan periuk nasi mereka, yang setiap malam bermain muzik di perkarangan pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur itu.
“Siapa sabotaj siapa? Kami tiap-tiap malam main di sini. Pendapatan hari ini memang tidak ada apalah. Mereka pun tidak mahu bayar pampasan, kita tidak boleh kata apalah.
“Penganjur pun saya tidak tahu siapa. Saya pun bukan jenis hendak meminta sangat,” kata Marzuki Nanyan, wakil kumpulan busker itu kepada The Malaysian Insight.
Marzuki berkata mereka bermain muzik di depan Sogo secara rutin setiap hari dan mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kita ahli yang buta ada tiga orang. Semua ada enam orang. Ada lagi kawan yang bantu. Kita ada permit. Kalau tidak ada permit, kita pun tidak berani main,” katanya.
Tunjuk perasaan malam tadi diadakan bagi membantah keputusan peguam negara pada Isnin lalu menarik balik pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Perhimpunan itu bagaimanapun bertukar kecoh apabila polis cuba menghentikan pesertanya daripada berarak ke Balai Polis Dang Wangi dan merampas mikrofon yang digunakan penganjur untuk berucap.
Sebelum berlaku kekecohan, wakil penganjur berjumpa dengan Marzuki meminta mereka menghentikan sementara permainan muzik selama 10 minit untuk beri laluan kepada penceramah berucap.
“Kita faham, saya tidak perasan keadaan abang (buta) macam ini. Saya minta berhenti sekejap 10 minit sahaja. Ini soal bangsa,” kata wakil penganjur kepada Marzuki.
“Saya bagi laluan kepada abang sekejap, tiada masalah, saya okay,” balas Marzuki.
Sebaik tempoh 10 minit itu tamat, JK Lineup kembali bermain muzik dan selepas itu kekecohan mula berlaku.
Tindakan mereka kembali bermain muzik menyebabkan Pengerusi Pemantau Malaysia Baru Lokman Noor Adam menuduh sistem pembesar suara daripada kumpulan pemuzik jalanan itu sengaja dikuatkan untuk sabotaj himpunan tersebut.
Bercakap kepada wartawan selepas keadaan reda, Lokman mendakwa beliau sudah meminta pihak polis berunding dengan kumpulan busker tetapi polis enggan berbuat demikian.
Susulan itu, Lokman berkata beliau mengambil keputusan untuk berarak ke Balai Polis Dang Wangi dan membaca laporan polis tersebut di sana, jauh daripada kumpulan busker yang bermain muzik di depan Sogo.
Episod kekecohan bermula apabila Lokman yang mengetuai perarakan itu tidak berpuas hati dengan tindakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah menghalang beliau dan rakan-rakannya berarak dan cuba merampas mikrofon dari tangannya.
“Lu siapa nak halang rakyat Malaysia daripada buat laporan polis? Sejak bila rakyat Malaysia tidak boleh buat laporan polis?,” pekik Lokman kepada polis.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata kekecohan tidak akan berlaku jika polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan beberapa orang untuk pergi ke balai polis membuat laporan seperti kebiasaan yang berlaku sebelum ini.
Shaharudin berkata polis mengklasifikasikan Himpunan Pengkebumian Institusi Peguam Negara malam tadi sebagai perhimpunan haram dan polis akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau bagaimanapun membenarkan mereka meneruskan perhimpunan seketika, atas budi bicaranya, kata Shaharudin.

Ketua polis daerah itu berkata Lokman bukan saja tidak membuat permohonan atau memberi notis kepada polis untuk mengadakan perhimpunan tersebut, malah melanggar kelonggaran yang diberikan apabila mahu berarak ke Balai Polis Dang Wangi.
Sementara itu, Marzuki berkata beliau tidak kisah jika ada pihak hendak mengadakan perhimpunan untuk memperjuangkan sesuatu isu, cuma mereka minta kumpulan terlibat memikirkan juga nasib golongan yang cari makan seperti mereka.
Marzuki berkata perkara yang sama pernah terjadi dalam Himpunan Bersih sebelum ini tetapi mendakwa penganjur ketika itu membayar ganti rugi kepada mereka disebabkan pendapatan mereka sudah terjejas dengan adanya himpunan tersebut.
“Dulu masa puak baju kuning berdemo, mereka bayar kita untuk berhenti menyanyi sebab mereka hendak berdemo. Penganjur datang kepada kita bayar RM500, berhentilah sekejap hari itu. Kita pun tidak sakit kepala.
“Kalau mereka rasa bertanggungjawab memperjuangkan itu ini, tengoklah kami ini macam mana? Mereka bayar tak budak-budak busker yang datang malam ini naik Grab RM40-RM50 tambang pergi balik, mereka bayar ke tidak?
“Ikutlah hendak perjuangkan apa pun tapi yang besar kau nampak. Kami yang kecil tepi jalan ini macam mana?,” soalnya kesal dengan apa yang berlaku. – 8 September, 2018.
Komen