LOKMAN Adam akan hadir memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi pada Isnin berkaitan kekecohan di luar pusat membeli belah Sogo di Kuala Lumpur malam tadi.
Lokman yang juga pengerusi Pemantau Malaysia Baru berkata, polis telah menghubunginya pagi tadi memintanya datang memberi keterangan, menambah yang tindakan polis itu tidak akan menghalang usahanya menentang kerajaan zalim.
Beliau juga menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap polis berhubung kekecohan yang berlaku semasa protes di depan Sogo malam tadi, yang diadakan bagi membantah keputusan peguam negara menarik balik pertuduhan rasuah ke atas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Tadi saya telah menerima panggilan untuk saya bagi keterangan kerana ada laporan polis ke atas diri saya. Seperti yang saya sebut semalam, lagi ditekan lagi kami akan bangkit melawan.
Kata Lokman lagi, beliau turut meminta supaya Ketua Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun melantik ketua Balai Polis Dang Wangi yang baharu yang lebih rasional menjalankan tugas.
“Untuk siri perhimpunan yang seterusnya, saya mencadangkan kepada KPN untuk mendapatkan pegawai yang berpengalaman dalam menguruskan perhimpunan aman untuk menjadi ketua Balai Polis Dang Wangi yang baru.
“Kita perlukan orang yang lebih terlatih, lebih profesional dan lebih dapat mengawalkan kemarahannya. Tidak sesenang menengking rakyat dan juga mengenakan telunjuk jarinya. Bagi saya dia tidak profesional dalam menjalankan tugasnya,” katanya.
Dalam kejadian tersebut, episod kekecohan bermula apabila Lokman yang mengetuai perarakan itu tidak berpuas hati dengan tindakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah menghalang beliau dan rakan-rakannya berarak dan cuba merampas mikrofon dari tangannya.
“Lu siapa nak halang rakyat Malaysia daripada buat laporan polis? Sejak bila rakyat Malaysia tidak boleh buat laporan polis?” pekik Lokman kepada polis.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata kekecohan tidak akan berlaku jika polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan beberapa orang untuk pergi ke balai polis membuat laporan seperti kebiasaan sebelum ini.
Shaharudin bagaimanapun menegaskan Lokman boleh membuat laporan polis sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis.
Lokman dalam satu kenyataan pada hari ini mengumumkan akan mengambil lima langkah susulan antaranya akan membuat laporan polis terhadap Shaharudin dan anggota yang terlibat dalam mengoyak laporan polis, melakukan kekasaran dan merosakkan harta benda mereka.
Selain itu, Lokman juga akan membuat laporan kepada Jabatan Integriti PDRM Bukit Aman terhadap Shaharudin dan anggota yang terlibat serta memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Saya akan melantik peguam untuk keluarkan surat tuntutan terhadap PDRM dan kami akan lakukan saman guaman sivil terhadap pegawai PDRM tertentu untuk tuntut gantirugi dan perintah halang mereka menganggu himpunan dilain masa,” katanya. – 8 September, 2018.
Komen