Najib dituduh jual negara dengan wang pelaburan China


Penganalisis berkata keakraban dengan China ialah titik kelemahan Perdana Menteri Najib Razak, dengan pembangkang menuduh kerajaan menjual kedaulatan Malaysia. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2017.

CHINA sedang mengukuhkan kehadirannya di Asia Tenggara dengan pelaburan berbilion membina pelabuhan laut dalam di Melaka, menyasarkan kapal China dan antarabangsa yang menggunakan Selat Melaka.

Melaka Gateway bernilai RM43 bilion (US$10 bilion) meletakkan sasaran untuk mengambil alih Singapura sebagai pelabuhan terbesar di rantau itu, dan ia habuan kerjasama Kuala Lumpur dan Beijing – yang melabur AS$7.2 bilion dalam projek berkenaan.

Ia juga bagi meningkatkan perdagangan dua hala dan merangsang industri perkapalan dan logistik sepanjang Laluan Sutera China, lapor Bloomberg.

Tetapi penyatuan ekonomi China dengan Malaysia tidak terbatas kepada pembangunan semula pelabuhan Melaka.

Pada November, Najib membawa pulang urus niaga bernilai AS$33.6 bilion menerusi lawatannya ke China – terbesar antara dua negara itu – ditambah lagi dengan perjanjian membeli empat bot peronda dari China.

Syarikat China juga menyumbang kepada hampir separuh nilai keseluruhan projek kontraktor asing dalam projek pembinaan di Malaysia pada 2015.

Kebanjiran pelaburan China di Malaysia yang menunjukkan peningkatan ketara sejak Xi Jin Ping memegang kuasa pada 2012, disambut Perdana Menteri Najib Razak sebagai paling utama dalam membina infrastruktur kelas dunia di Malaysia.

Tetapi penganalisis berkata keakraban dua negara itu menimbulkan persoalan mengenai kedaulatan dan berkembangnya pengaruh China dalam politik.

“Keakraban dengan China ialah titik kelemahan Najib,” kata Mustafa Izzuddin, felo di ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura.

“Sementara pelaburan masuk akan menambah pendapatan dan merangsang ekonomi, pembangkang pula menggunakan China untuk mengkritik kerana terlalu rapat dengan China dan menuduh kerajaan menjual kedaulatan Malaysia,” katanya kepada Bloomberg.

China menjadi rakan perdagangan terbesar China sejak 2009, menggantikan Singapura, dengan perdagangan dua hala bernilai AS$83.4 bilion. China ialah pasaran eksport terbesar Malaysia.

Negara itu komited untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion dari Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang, melabur sehingga AS$150 bilion dalam negara dan menawarkan 10,000 tempat latihan di China.

Beijing juga sedang menyiapkan lawatan Xi ke Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang, menurut tiga orang yang tahu mengenai rancangan itu, tetapi minta nama mereka tidak didedahkan.

Sesetengah penganalisis berkata keakraban Najib dengan China boleh menjejaskan politik, kerana pengkritiknya berkata negara itu perlu menyerahkan pengaruh kepada Beijing sebagai tukaran untuk wangnya.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam blognya awal tahun ini berkata perniagaan dan pekerja tempatan akhirnya akan tersingkir.

“Kebanyakan tanah berharga akan dimiliki dan diduduki oleh orang asing. Akhirnya ia akan menjadi tanah milik orang asing,” kata Dr Mahathir.

“Ada tanggapan yang Najib dibeli oleh China,” kata Bridget Welsh, pakar politik di Universiti John Cabot, Rome dan juga pengarang “The End of Umno? Essays on Malaysia’s Dominant Party”.

“Dalam Malaysia, campur tangan China berpotensi menyebabkan ketegangan kaum yang lebih teruk dan ketidakstabilan politik, selain menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara jiran,” katanya dalam satu laporan.

Bagaimanapun, Harrison Cheng, penganalisis kanan di Kawalan Risiko Singapura berkata walaupun ada pihak dalam Umno tidak suka dengan pelaburan China, isu utama yang menjejaskan pengundi tetap isu ekonomi dan kos sara hidup.

“Belum ada petanda kuat menunjukkan akan berlaku tindak balas dalam Umno dan masyarakat,” kata Cheng. – 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen