Ibadah haji dan kekejaman penjaga pintu Kaabah


Mohd Syazreen Abdullah

Jemaah mengambil bahagian ibadah melontar di Jambatan Jamarah di Mina, berhampiran Mekah, yang merupakan rukun utama haji. Umat ​​Islam dari seluruh dunia berkumpul di Mekah, Arab Saudi untuk menunaikan ibadah tahunan haji, salah satu daripada lima rukun Islam. – Gambar AFP, 23 Ogos 2018.

BUKAN mudah membuktikan Islam adalah agama “rahmatan lil alamin”, dan kasih kedamaian.

Lihatlah apa yang terjadi di Yaman baru-baru ini, berulang-ulang tindakan keganasan menghancurkan kemanusiaan.

Bom ditujukan tanpa mengenal sesiapa. Terbaru, serangan angkatan tentera diketuai Arab Saudi di kawasan pemberontak di utara Yaman membunuh sehingga 40 kanak-kanak dan mengakibatkan 79 orang cedera.

Konflik kekejaman itu sudah membunuh hampir 10,000 orang sejak tentera Arab Saudi menceroboh Yaman pada Mac 2015.

Kebiadaban kemanusiaan dan teror terus semakin menjadi-jadi di wilayah dunia Arab.

Perbuatan kejam itu bukan sekadar melumatkan nilai kehidupan bahkan mengundang kemurkaan Tuhan sekalipun mereka menggunakan nama agama. Quran jelas mengutuk tindakan kekejaman ini –  membunuh manusia dengan sengaja.

Ini bertentangan dengan nilai agama dan kemanusiaan walau datang dari negara yang menjaga dua kota suci umat Islam, Mekah dan Madinah, digelar khadim al-haramayn.

Mengenangkan Arab Saudi, biasanya yang terbayang adalah ibadah umrah dan haji. Tanpa curiga, Arab Saudi masih dianggap kota sakral dan tanah yang menjaga Islam.

[FOTO] Kemuncak ibadah suci rukun Islam kelima

Biasanya, itulah yang terbit dalam fikiran kita. Apa yang keluar daripada mulut Pak Arab, itulah Islam. Mengkritik Arab tak ubah seperti mengkritik Islam.

Menyimpan duit di Tabung Haji, adalah impian semua Melayu Islam agar dimakbulkan doa menjejakkan kaki di tanah suci Islam iaitu negara Arab Saudi.

Ironinya, negara yang bersumberkan kekayaan minyak dan haji inilah yang menyebarkan terorisme bertopeng kesucian tanah haram.

Tindakan teror sedemikian bukanlah hal yang baru, apatah lagi didukungi oleh Arab Saudi, yang dikenali dalam lembaran sejarah keganasan yang cukup membuktikan kelompok tersebut dipengaruhi cara fikir kelompok puritan iaitu golongan Wahabi, pengikut Muhammad bin Abd al-Wahab (1792) – seorang pengasas gerakan puritanisme keagamaan di Semenanjung Arab.

Lebih tepat, ia menguniversalkan budaya Arab Badwi yang bersifat mundur dan mendeklarasikannya sebagai satu-satu ajaran Islam yang murni.

Gagasan utama Abd al-Wahhab adalah membuang penyimpangan daripada ajaran Islam yang lurus dan membebaskan Islam daripada pengaruh di luar kemurnian Islam seperti menolak ajaran seperti tasawuf, rasionalisme, Syiah dan kebelakangan ini menganggap Islam sebagai antitesis kepada wacana daripada Barat.

Gerakan Wahabi tidak gemar aktiviti intelektualisme, mistisme dan menganggap perkara tersebut sebagai inovasi yang menyimpang dari ajaran murni Islam. Pengaruh luar dari non-muslim, Turki, Persia, Yunani, dan bukan wilayah Arab harus dicurigai kerana membawa pemikiran yang ditentang seperti tawassul, filsafat dan rasionalisme.

Bahkan buku-buku yang mengandungi pandangan bertentangan dengan ideologi Wahabisme disekat dan tidak dibenarkan masuk ke dalam Arab Saudi.

Gerakan ini juga menghukum para ahli hukum abad pertengahan dan kontemporari sebagai bidaah kecuali Ibn Taimiyah, bahkan terdapat catatan seperti digambarkan di dalam Risalah al- Awraq al-Baghdadiyyah fi al Hawadith al-ajdiyyah tentang penbantaian terhadap para ulama Islam oleh golongan Wahabi.

Perkara ini dicatat dalam karya Ibrahim al-Rawi al-Rifai.

Bencikan keberagaman

Ideologi Wahabi dihidupkan kembali lagi pada awal ke-20 di bawah kepimpinan Abd al-Aziz ibn Sa’ud (1319-1373 H/1902-1953 M.) yang menganut faham puritan golongan Wahabi dan menggabungkan dirinya dengan suku-suku Najd.

Sepertimana catatan Khaled Abou Fadl di dalam karyanya The Great Theft: Wrestling Islam from the Extrimists (2005), pemberontakkan Wahabi yang pertama pada abad ke-18 bertujuan menggulingkan Uthmani dan menguatkan pengaruh puritanisme ke dunia Arab seluas-luasnya sehingga dapat menguasai Mekah dan Madinah – simbol pusat suci dunia Islam.

Meskipun Semenanjung Arab dikenali kelompok masyarakat yang mundur, terdapat wilayah Hijjaz di Arab yang sangat multibudaya dan aliran. Misalnya, terdapat sekolah aliran hukum mazhab Hanafi, Syafie, Maliki dan Hanbali, juga aliran hukum Syiah dan sufisme.

Namun, pemberontakan Wahabi terhadap aliran Syiah mencetuskan penumpahan darah ― membantai penduduk Karbala pada 1802.

Sesungguhnya, kegemilangan budaya yang berbagai-bagai dapat disaksikan semasa ibadah haji di Mekah. Jelas terpapar keberagaman ketika umat Islam berkumpul dalam ritual haji dengan tujuan yang satu dan pelaksanaan yang berbagai-bagai.

Namun sebaliknya, Wahabisme memaksakan untuk beribadat dengan satu bentuk ritual sahaja, yang dianggap praktik keimanan paling benar.

Acuan Islam direka cipta. Justeru, Wahabisme menghancurkan keberagaman yang pernah ada bergemerlapan di wilayah Hijjaz, khususnya di Mekah, Madinah dan Jeddah.

Intelektual Muslim, Ziauddin Sardar di dalam bukunya Mecca: The Sacred City keras mengkritik perubahan Mekah yang diambil alih oleh gerakan Wahabisme.

Menurutnya, Mekah yang pernah menjadi pusat keberagaman intelektual suatu masa dahulu, pusat perkembangan toleransi bertukar kepada paksi dominasi kepuasan nafsu keduniaan Wahabisme.

Seorang pegawai keselamatan Arab Saudi berdiri di kalangan jemaah ketika mereka menunaikan solat di sekitar Kaabah, di Masjidil Haram, Mekah. – Gambar AFP, 23 Ogos 2018.

Sebagai langkah menghapuskan keberagaman, gerakan Wahabisme mencipta polisasi agama sebagai aturan untuk mendukung ortodoksi yang kaku.

Akhirnya, keluarga Al-Sau’ud dan Wahabisme meninggalkan jejak intoleransi, fanatisme, kebencian, dan juga aksi kekerasan – membentuk warisan pemikiran keagamaan dunia Islam yang telah disebar luas melalui tindakan teror.

Bahkan golongan Wahabi sangat membenci kaum non-muslim dan berpendapat muslim tidak boleh terlibat dalam perilaku bidaah. Selain itu, umat Islam tidak boleh mendoakan kedamaian bagi non-muslim.

Menurut kelompok Wahabisme, hanya umat Islam boleh memohon agar Tuhan membimbing kelompok bukan Islam ke jalan yang benar. Begitu jelas kesombongan dan sikap angkuh golongan tersebut.

Menjunjung kemanusiaan

Ironinya, ketika Wahabisme menolak sikap berkawan dengan non-muslim, tetapi mereka bekerjasama dan bernada muluk kepada Barat.

Tindakan itu tidak disenangi kelompok militer dikenali Ikhwan yang tegar menyebarkan dasar puritanisme atau fahaman Wahabisme.

Konflik tercetus pada 1929, ketika Ikhwan memberontak melawan sikap kontradik Raja Abd al-Aziz yang berkompromi dengan perilaku bidaah.

Dengan bantuan Inggeris, Ikhwan akhirnya ditewaskan.

Namun ujian berat terhadap Arab Saudi dibuktikan pidato baru-baru ini perihal deklarasi Islam moderat sebagai tema diangkat. Harus sedar, pilihan Islam moderat bagi Arab Saudi tidak mudah.

Tambahan pula, gerakan puritanisme sudah kukuh terpasak dan menyubur lama di Arab sehingga melahirkan gerakan teror yang sempurna seperti al-Qaeda dan ISIS.

Lalu, bolehkah Islam moderat yang menjunjung nilai kemanusiaan bersaing di Arab Saudi sedangkan Wahabisme tidak mudah hilang?

Sarjana Islam, Muhammad al-Ghazali menyebut bahawa orang puritan diumpamakan pelempar hadis.

Beliau menyebutkan, kelompok tersebut menjadikan hadis sebagai perisai untuk menjaga warisan tradisi dan hukum Islam yang murni. Hadis sekaligus diguna untuk membungkam para penentang mereka dan menghadang pemikiran kritis.

Lebih utama ia menyangkut persoalan yang diyakini mereka sebagai temuan daripada Barat misalnya hak asasi manusia.

Orientasi puritan menggunakan teks Quran dan hadis untuk menolak kritik atau melarikan diri dari tentangan rasionalis

Dalam paradigma puritan, keupayaan tafsiran manusia tidaklah relevan terhadap realisasi berbanding implementasi Tuhan, termaktub dalam teks. Golongan puritan membesarkan peranan teks dan memperkecilkan peran aktif manusia dalam menafsirkan teks keagamaan.

Gerakan Wahabisme melahirkan manusia yang keras dan kaku dalam mengimbangi kehendak manusiawi.

Sebagai contoh, nilai-nilai seperti ketinggian insaniah, cinta, belas kasih dan empati tidak dapat dicapai dalam tafsiran teks agama mereka. Pertimbangan humanisme dinyahkan. Walhal, Islam pada hakikatnya adalah agama yang menjunjung tinggi kemanusiaan.

Melihat kezaliman dalam lingkungan Arab Saudi. Apakah ibadah haji hari ini mampu menjadi gerakan kemanusiaan bersemangat keberagaman dan egalitarian kemanusiaan?

Hina sekali kita, jika memikirkan Arab Saudi sebagai tempat penyucian diri di samping merelakan keganasan terus berleluasa.

Semoga kita tidak menjadi kelompok yang menangis di depan Kaabah tanpa mengenang nasib korban kemanusiaan yang diratah oleh penjaga pintu Kaabah tersebut. Meratib kalimat Tuhan di hadapan Kaabah tanpa memikirkan nasib korban kemanusiaan adalah dosa pada abad ini.

Mahu atau tidak, kita harus bertanya ada apa dengan Arab Saudi sehingga kita terpaksa tunduk dan akur demi menunaikan tuntutan ibadah haji? – 23 Ogos, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen