'Sudah kena pukulan maut, Umno masih pekak'


Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kecewa dengan tindakan partinya yang masih belum mengambil teladan daripada kekalahan pilihan raya umum 9 Mei.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2018.

BEKAS ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kecewa dengan tindakan partinya yang masih belum mengambil teladan daripada kekalahan pilihan raya umum 9 Mei.

Malah, parti itu hanya meniupkan sentimen perkauman dengan membangkitkan isu mengenai pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan utama dalam cabang kerajaan.

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan presiden dan ulang semula. Tak salah kita bersolidariti dengan (Najib Razak) tetapi takkan itu sahaja Umno baharu. 

“Sudah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” kata bekas menteri belia dan sukan itu dalam tulisannya di Twitter.

Katanya parti itu juga tidak akan dapat kembali mentadbir kerajaan dengan memainkan sentimen kaum dan menyeru Umno menumpukan isu lebih besar seperti ekonomi dan sosial.

“Jika modal untuk PRU15 hanya dengan memomokkan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai AG (peguam negara), ketua hakim dan lain-lain, lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya.

“Keresahan Melayu memang ada, tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain,” katanya lagi di Twitter.

 


 

Tegurannya itu muncul selepas Umno mengumumkan untuk mengadakan perarakan, minggu depan bagi membantah usaha DAP yang didakwa mahu menukar agama rasmi negara kepada Kristian.

Selain itu, barisan pemimpin Umno tersebut juga membangkitkan kefasihan peguam negara Tommy Thomas berbahasa Melayu.

Antara yang terlibat mencetus kekecohan dengan isu tersebut adalah Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad, Exco Pemuda Wan Azri Deris dan Ahli Majlis Tertinggi Lokman Adam. 

Kempen mengutip derma untuk Najib itu berjaya meraih RM500,000 untuk membayar baki jaminan mahkamah.

Dalam pemilihan parti bulan lalu, Khairy gaga merebut jawatan presiden dan berkeras untuk tidak menerima sebarang jawatan parti bagi membolehkannya kekal bebas menegur Umno.– 12 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Apabila orang keluar dari golongan, barulah akan dia sedar apa yang di lakukan oleh golongan. Janganlah lagi buat sama dengan mereka.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan