Saya akan jadi singa dalam Dewan Rakyat, kata Khairy


Looi Sue-Chern

Khairy Jamaluddin berkata, jika beliau kalah merebut jawatan presiden Umno, beliau akan jadi singa mengaum dalam Dewan Rakyat untuk jadi pembangkang yang baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 29 Jun, 2018.

AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan meninggalkan Umno jika kalah merebut jawatan presiden Sabtu ini.

Katanya, beliau tidak akan keluar Umno tetapi akan jadi ahli Parlimen pembangkang yang kuat menentang kerajaan Pakatan Harapan di Dewan Rakyat.

“Jika saya berhenti, mana nak letak muka? Pak Lah akan tampar saya,” katanya merujuk kepada bapa mertuanya, bekas perdana menteri dan presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi.

“Jika saya tak menang, biar saya jadi singa mengaum dalam Dewan Rakyat,” kata bekas menteri belia dan sukan dalam pertemuan dengan ahli Umno Pulau Pinang di Seberang Jaya malam tadi.

Khairy bertanding jawatan presiden menentang empat lagi calon lain termasuklah pemangku presiden Ahmad Zahid Hamidi dan veteran Umno Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.

Dalam tempoh kurang dua minggu selepas pemilihan parti Sabtu ini, Dewan Rakyat akan bersidang buat kali pertama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan dan Barisan Nasional (BN) jadi pembangkang.

Khairy berkata Umno patut masuk ke dalam Dewan bukan sebagai parti yang kalah, tetapi parti tunggal dengan kerusi Parlimen terbanyak- 52.

Katanya, Umno perlu jadi parti yang dihormati semua termasuklah lawannya.

“Kita sudah hilang dua ahli Parlimen yang keluar kerana mereka tak yakin dan kepimpinan BN yang kurang jelas,” katanya merujuk kepada ahli Parlimen Bagan Serai dan Bukit Gantang yang keluar Umno awal minggu ini.

“Saya kalau menang (jawatan presiden Umno) perkara yang pertama kita susun barisan kita dalam Dewan Rakyat.

“Kita masuk Dewan Rakyat bukan sebagai parti yang kalah tetapi sebagai parti kedua yang terbesar dalam Dewan Rakyat. Jangan kita buat sedih…menyerah kalah. Belum apa-apa lagi nak cakap oh saya akan berunding dengan parti lawan supaya kita dapat minta nyawa daripada mereka. Kita parti yang ada maruah, ada harga diri. 

“Kita akan persoalkan PH tentang janji 100 hari seperti mengurangkan harga minyak, menghapuskan tol dan mengurangkan harga barang. Kita perlu tunjuk yang kita kuar, tidak tertekan atau menyerah kalah.”

Khairy berkata wakil rakyat Umno tidak seharusnya cuba berunding dengan PH “seperti tikus”.

“Jangan pergi dan minta tolong, atau diberi talian hayat. Mereka akan beri kita sedikit sahaja, kurang berbanding apa yang kita layak. Jika kita perlu berunding, biar mereka berunding dengan singa yang mengaum.”

Dalam ucapannya, beliau juga menjelaskan keputusan untuk bertanding jawatan presiden di saat-saat akhir walaupun rancangan awalnya adalah untuk merebut jawatan naib presiden.

Katanya, perwakilan daripada 191 bahagian Umno wajar mendapat lebih banyak pilihan selain Zahid dan Tengku Razaleigh, yang menurut Khairy hanya akan berkhidmat untuk satu penggal iaitu tiga tahun.

Beliau menggambarkan dirinya sebagai perwakilan yang akan membawa perubahan untuk generasi muda.

“Saya mahu berikan ahli kita pemimpin yang akan bawa mereka terus kepada pilihan raya umum akan datang. Awak tak boleh jadi presiden sambilan atau separuh masa.”

Khairy juga menafikan dakwaan yang beliau sedang cuba memecah undi dan membuat perjanjian untuk dilantik jadi setiausaha agung Umno selepas pemilihan.

“Saya seorang pejuang. Saya tak masuk pemilihan parti untuk kalah. Tidak ada rundingan.”

Beliau juga bercakap tentang masa sukarnya berada dalam Umno walaupun merupakan menantu Abdullah; berusaha mendaki kedudukan dalam parti selepas Abdullah berundur tetapi tetap diperlekeh.

“Sukar untuk saya. Selepas dipilih jadi ketua Pemuda, saya tak dipedulikan. Timbalan saya dilantik jadi timbalan menteri. Begitu juga Mukhriz (Mahathir) yang tidak menang pemilihan,” katanya merujuk kepada pemilihan 2009.

Khairy juga mengulas pendapat pihak tertentu yang usianya-42 tahun- terlalu muda untuk mengetuai parti, tetapi baginya usia hanyalah angka.

“Perdana menteri 93 tahun. Menteri besar Selangor 38 tahun dan sekarang menteri belia dan sukan yang gantikan saya 2 tahun…jadi apa salahnya dengan 42 tahun jadi presiden parti?”

Pertemuan malam tadi antara Khairy dengan ahli Umno Pulau Pinang diadakan di Safira Country Club lebih hangat berbanding pertemuan diadakan Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini di lokasi sama. Dewan penuh malah ada hadirin tak dapat tempat duduk.

Di akhir pertemuan, beberapa ketua bahagian termasuklah bahagian Bukit Gelugor, Kepala Batas, Nibong Tebal dan Permatang Pauh menyuarakan sokongan terbuka kepada Khairy untuk jadi presiden. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen