Penyokong Najib buat kecoh, sidang media Tommy Thomas pindah tempat


Nabihah Hamid

Sidang media Peguam Negara Tommy Thomas bertukar kecoh disebabkan ratusan penyokong Najib Razak dan Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Julai, 2018.

PEGUAM Negara Tommy Thomas terpaksa menukar tempat sidang media yang sebelum ini dijadualkan berlaku di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tengahari ini selepas kekecohan ditimbulkan hampir 100 penyokong Najib Razak yang bersorak memintanya bercakap dalam Bahasa Malaysia.

Thomas sepatutnya bercakap kepada media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen dan Tinggi hari ini berkaitan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa terhadap Najib.

Kekecohan berlaku kira-kira 12.45 tengahari tadi dengan lobi turut dipenuhi laungan “Hidup Najib”. 

Susulan itu, pihak polis menahan beberapa individu yang dipercayai memulakan provokasi. 

Exco Pemuda Umno, Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris menggesa Thomas berbahasa Melayu untuk memudahkan khalayak ramai memahami intipati ucapannya. 

“Bagi sidang media pun cakap Inggeris. Cakaplah Melayu. Daulatkan bahasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebahagian penyokong Najib Razak yang berada di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mendesak Peguam Negara Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam Bahasa Melayu sehingga memaksa sidang media berubah tempat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Julai, 2018.

Ini menyebabkan beberapa ratus penyokong Umno lain turut melaungkan perkara sama kepada Thomas.

Mereka menjerit: “Melayu, Melayu, Melayu”

Suara Thomas ditenggelamkan dengan laungan itu dan beliau beredar ke kenderaannya atas faktor keselamatan. Sidang media itu dipindahkan ke sebuah tempat lain dengan kawalan ketat polis.

Beberapa pemimpin Umno turut hadir memberikan sokongan kepada Najib antaranya Ketua Wanita Umno Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajdi. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • inilah akhlak pemakan dedak

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Sabri Bakar · Ulasan