Ratusan penyokong hadir, percaya Najib tak bersalah


Nabihah Hamid

RATUSAN penyokong Najib Razak yang hadir di mahkamah hari ini tidak mempercayai pertuduhan yang dibuat terhadap bekas perdana menteri itu dan menggesa keadilan ditegakkan.

Mereka mengiringi bekas presiden Umno itu keluar dari perkarangan mahkamah kira-kira 3.30 petang tadi. 

Penyokong membanjiri Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan kepada ahli Parlimen Pekan itu yang dianggap mereka jadi mangsa penindasan pihak berkuasa. 

“Tidak sepatutnya dia (Najib) dibuat begini seperti dia penjenayah yang besar. Dia beri komitmen untuk ke SPRM beri keterangan tetapi kenapa dia ditangkap,” kata Has Samsuri, ketua Wanita Umno Cawangan Pulau Ketam Selat Klang.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Dr. Mohd. Puad Zarkashi percaya penangkapan pihak berkuasa terhadap Najib disebabkan tekanan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau mahu perbicaraan dijalankan dengan adil terhadap bekas presiden Umno yang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

“Kita yakin tindakan penangkapan Najib semalam kerana tekanan Dr Mahathir kepada pihak berkuasa,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Difahamkan Umno Pekan turut hadir memberikan sokongan kepada Najib. 

“Najib sudah banyak berjasa. Apa salah dia sampai hendak ditangkap? Dia belum terbukti salah,” kata ahli Umno Pekan yang hanya mahu dikenali sebagai Kasim. 

Jam 1 petang tadi sedikit kekecohan dicetuskan penyokong Najib sehingga mengganggu sidang media Peguam Negara Thommy Thomas dan memaksa ia berpindah tempat.

Najib ditahan SPRM semalam dan menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Beliau dibebaskan mahkamah dengan ikat jamin RM1 juta. Hakim Sofian Abdul Razak memutuskan jaminan RM1 juta itu dibayar tunai separuh hari ini, dengan baki RM500,000 lagi dibayar sebelum Isnin, 9 Julai.

Hakim turut memerintah Najib menyerahkan dua pasport diplomatiknya kepada mahkamah. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen